TERJEMAHAN HADITH NABI S.A.W KE DALAM BAHASA MELAYU: ANALISIS TERHADAP KITAB RIYAD AL-SALIHIN TERBITAN JAKIM

Faisal Ahmad Shah

  

Permissions & Reprints
Abstract

This article mainly discusses about the regulations and criteria in translating Prophetic Hadith into Malay language. The objective of this paper is to identify the certain regulations and criteria that should be understood and followed by translator before translating Prophetic Hadith into Malay language. This article will also analyze the hadith translation in Riyad al-Salihin of Malay version, published by JAKIM, specifically on its first volume. As a result, the study found that there were some errors in the translation, which involves the addition of the translation, reduction in the translation, alteration of the actual meaning, the wrong interpretation and also inaccurate literal translation.

Full Article

PENDAHULUAN

Setiap orang Islam wajib mempelajari bahasa Arab kerana melalui bahasa Arab seseorang itu akan dapat memahami agamanya, mengetahui hukum hakam dan seterusnya memperbaiki amalan ibadatnya. Namun bukan semua orang mempunyai peluang untuk mempelajari bahasa Arab disebabkan minat dan kecenderungan yang berbeza. Tiadanya pengetahuan dan kemahiran mengenai bahasa Arab menghalang seseorang itu untuk memahami agamanya dengan baik. Justeru pilihan yang wujud ialah melalui maklumat yang terdapat dalam terjemahan buku-buku agama dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Salah satu ilmu dalam pengajian Islam yang perlu dipelajari oleh umat Islam ialah ilmu hadith sesuai dengan kedudukannya sebagai sumber kedua dalam syariat Islam. Terjemahan hadith-hadith nabi ke dalam bahasa Melayu akan dapat membantu umat Islam memahami ajaran dan risalah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya. 

Allah s.w.t. telah mengutuskan rasulnya kepada kaumnya dengan bahasa mereka sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Ibrahim ayat 4.

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ

Maksudnya: Kami tiada mengutus seorang Rasul, melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menerangkan kepada mereka.  

Daripada ayat al-Quran ini jelas membuktikan keperluan terjemahan hadith-hadith nabi s.a.w. kepada bahasa Melayu supaya masyarakat Melayu dapat memahami kandungan Islam.

Kepentingan terjemahan pernah ditegaskan oleh Ibn Taymiyyah melalui kenyataannya seperti berikut: “sebagaimana dimaklumi bahawa ummah diperintahkan untuk menyampaikan Quran sama ada secara lafaz dan maknanya sebagaimana diperintahkan kepada Rasulullah s.a.w. Tidak akan berlaku penyampaian risalah Allah melainkan dengan cara demikian. Penyampaian kepada bangsa Ajam memerlukan kepada penterjemahan maka hendaklah diterjemahkan kepada mereka mengikut kemampuan. Apa yang tidak menjadikan sesuatu kewajipan itu sempurna melainkan dengannya maka ia adalah wajib.[1]

Surah al-Hujurat ayat 13 juga menjelaskan bagaimana Allah s.w.t. telah menjadikan manusia dengan pelbagai rupa, bentuk, bangsa dan bahasa yang tinggal di pelbagai ceruk dunia untuk mereka berkenalan di antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hujurat ayat 13.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: Hai manusia sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan (bapa dan ibu), dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia  di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Amat Mengetahui.

Begitu juga firman Allah dalam surah al-Rum ayat 22.

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tandanya ialah kejadian langit dan bumi dan bermacam-macam bahasa kamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya tentang demikian itu menjadi tanda bagi orang –orang yang mahu tahu.

Para ulama salaf dan khalaf bersepakat mengenai kewajipan bersatu di bawah bahasa Arab. Begitulah juga ulama terdahulu tetap menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar ketika membuka wilayah dan negeri pada permulaan Islam.[2]

DEFINISI TERJEMAHAN

Al-Tarjamah dari sudut bahasa ialah al-Tafsir iaitu memindahkan perkataan dari bahasa ke bahasa yang lain. Ibn Manzur dalam Lisan al-‘Arab menjelaskan al-Tarjuman dan al-Turjuman ialah pentafsir kepada lisan. Perkataan ini disebut dalam hadith yang menceritakan kisah Hirqal raja Rom yang berkata kepada penterjemahnya iaitu “seseorang yang menterjemahkan perkataan, memindahkannya daripada bahasa ke dalam bahasa yang lain”.[3]

TERJEMAH DARI SUDUT ISTILAH[4]

Terjemah ialah suatu ibarat dengan bahasa kedua kepada makna-makna yang dikemukakan dengan bahasa pertama. Penterjemahan melibatkan kebolehan dan kemahiran seseorang penterjemah dalam menterjemah. Ia dianggap sukar berbanding mengarang kerana pengarang bebas memilih lafaz-lafaznya, susunan ayatnya sendiri, uslub dan gaya bahasanya sendiri. Beliau malah berhak untuk menukar makna kalimah kepada makna yang lain atau mengemukakan gaya bahasa yang lain bagi menggambarkan kecenderungannya kepada sesuatu pendapat. Berbeza dengan penterjemah yang sudah pasti terikat dengan maksud dan kehendak pengarang asal.

JENIS-JENIS TERJEMAHAN

Terjemahan terbahagi kepada dua iaitu terjemahan Harfiyyah dan terjemahan Ma‘nawiyah

Terjemahan Harfiyah ialah terjemahan  berdasarkan lafaz yang terdapat dalam nas. Manakala terjemahan Ma‘nawiyah iaitu terjemahan berdasarkan maksud dan makna nas tanpa menggunakan lafaz yang sama.

Kedua-dua kaedah ini memang dikenali di sisi bangsa Arab ketika bermulanya kerancakan penterjemahan daripada bahasa Yunani ke dalam bahasa Arab. Baha’ al-Din al-‘Amili (1031H) telah menukilkan daripada Salah al-Din al-Safadi (m.764H) dengan katanya: Bangsa Arab mempunyai dua kaedah dalam penterjemahan.

Pertama: Penterjemah akan melihat kepada setiap perkataan Yunani dan makna-makna yang bersesuaian daripadanya kemudian penterjemah akan mendatangkan perkataan Arab yang bersesuaian dengan perkataan Yunani tersebut kemudian menyusunnya mengikut yang dikehendaki.

Kedua: Penterjemah akan cuba memahami makna dan maksud daripada potongan teks dalam bahasa Yunani kemudian mendatangkannya dalam bahasa Arab mengikut kesesuaian  dengan makna tersebut.[5]

FAKTOR-FAKTOR YANG MENDORONG KEPADA TERJEMAHAN HARFIAH

Antara faktor yang mendorong kepada terjemahan harfiah ialah lemahnya kemampuan penterjemah dalam bahasa Arab dan bahasa yang digunakan oleh pengarang. Ini kebiasaannya berlaku terutamanya bagi penterjemah yang tidak membiasakan diri dengan penulisan dan terjemahan. Faktor mudahnya terjemahan harfiah tanpa perlu memikirkan mengenai struktur ayat juga menjadikan terjemahan sebegini digunakan oleh penterjemah.[6]

HUKUM TERJEMAHAN

Para ulama telah sepakat mengenai keharusan menghuraikan pengajaran agama Islam kepada orang Ajam dengan bahasa mereka. Setengah ulama berpendapat pengajaran agama dalam bahasa selain bahasa Arab khusus kepada para sahabat sahaja. Pendapat ini dikemukakan oleh Ibn al-‘Arabi dalam Ahkam al-Qur’an. Ini adalah kerana menurut beliau jika kita mengharuskan bagi setiap orang untuk menghuraikan agama dalam bahasa selain bahasa Arab maka belum tentu kita boleh mempercayai maklumat tersebut. Para sahabat adalah golongan yang paling layak kerana kemampuan mereka dalam bahasa Arab dari sudut al-Fasahah, balaghah selain  penyaksian mereka terhadap pendapat dan perbuatan nabi yang membantu mereka memahami makna dan maksud hadith secara keseluruhan.[7] Namun Ibn Hajar pernah menukilkan kesepakatan para ulama untuk mengharuskan penghuraian syariah kepada orang Ajam dengan bahasa mereka.[8] Khatib al-Baghdadi juga turut menukilkan kesepakatan ummah mengenai keharusan menterjemah hadith-hadith nabi, perintah dan larangannya.

Terjemahan hadith ke dalam bahasa lain mempunyai kaitannya dengan riwayat hadith dengan makna. Terdapat riwayat yang menjelaskan mengenai hukum meriwayatkan hadith dengan makna.

DALIL-DALIL KEHARUSAN RIWAYAT DENGAN MAKNA

Terdapat beberapa riwayat yang membuktikan mengenai keharusan meriwayatkan hadith dengan makna. Antaranya perkataan Abu Sa‘id al-Khudri seperti yang berikut:

قول أبي سعيد الخدري رضي الله عنه : كنا نجلس إلى النبي صلى الله عليه وسلم ، عسى أن نكون عشرة نفر ، نسمع الحديث ، فما منا اثنان يؤديانه غير أن المعنى واحد[9]

Abu Sa‘id al-Khudri berkata: Kami pernah duduk berhadapan nabi dalam sepuluh orang, mendengar hadith , tiadalah dua orang daripada kalangan kami yang menyampaikan hadith tersebut melainkan maknanya sama.

Begitu juga Ibn ‘Awn menceritakan:

كان ابراهيم النخعي والحسن والشعبي يأتون بالحديث على المعاني[10]

Maksudnya: Bahawa Ibrahim al-Nakha‘i, al-Hasan dan al-Sha‘bi mendatangkan hadith dengan makna.

Ulama hadith menegaskan bahawa jika seorang perawi tidak mengetahui lafaz dan petunjuk hadith dengan maksud tidak mengetahui makna yang tersirat dan perbezaannya, maka tidak harus baginya meriwayatkan apa yang dia dengar secara makna. Pendapat ini dipegang oleh semua ulama. Bahkan perawi yang meriwayatkan dengan makna perlu memastikan lafaz yang didengari. Jika perawi tersebut mengetahui lafaznya maka menurut ulama hadith, fiqh dan usul tidak harus meriwayatkannya melainkan dengan lafaznya. Pendapat ini merupakan pendapat Ibn Sirin, Tha’lab, Abu Bakr al-Razi daripada al-Hanafiyyah. Setengah ulama mengharuskannya bagi selain daripada hadith Nabi s.a.w. Majoriti ulama salaf dan khalaf mengharuskan meriwayatkan hadith dengan makna kerana ini diamalkan oleh para sahabat. Buktinya mereka meriwayatkan satu kisah dengan lafaz yang pelbagai.[11]

DALIL-DALIL KEPERLUAN TERJEMAHAN HADITH

Berikut di bawah ini adalah dalil-dalil yang membuktikan keperluan dan kepentingan penterjemahan hadith-hadith nabi s.a.w ke dalam bahasa lain. Antaranya:

1-      Perintah nabi s.a.w kepada Zayd bin Thabit untuk mempelajari bahasa Siryaniyah. Nabi s.a.w memerintahkan demikian kepada Zayd kerana baginda tidak yakin dengan orang Yahudi untuk menulisnya sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi.

عَنْ أَبِيهِ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ قَالَأَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَتَعَلَّمَ لَهُ كَلِمَاتٍ مِنْ كِتَابِ يَهُودَ قَالَ إِنِّي وَاللَّهِ مَا آمَنُ يَهُودَ عَلَى كِتَابِي قَالَ فَمَا مَرَّ بِي نِصْفُ شَهْرٍ حَتَّى تَعَلَّمْتُهُ لَهُ قَالَ فَلَمَّا تَعَلَّمْتُهُ كَانَ إِذَا كَتَبَ إِلَى يَهُودَ كَتَبْتُ إِلَيْهِمْ وَإِذَا كَتَبُوا إِلَيْهِ قَرَأْتُ لَهُ كِتَابَهُمْ[12]

Maksudnya: daripada Zayd bin Thabit berkata: Rasulullah telah memerintahkanku untuk aku belajar untuknya tulisan Yahudi. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Demi Allah aku tidak percaya orang Yahudi untuk menulis. Kemudian Zayd berkata: selepas setengah bulan berlalu aku dapat mempelajarinya untuk Rasulullah. Zayd menceritakan: Ketika mana aku telah mempelajarinya apabila Rasulullah menulis kepada Yahudi aku akan menulis kepada mereka. Manakala jika orang Yahudi menulis kepada Rasulullah aku baca tulisan mereka. Abu ‘Isa berkata: hadith ini hasan sahih.

Namun timbul persoalan kerana nabi dilaporkan sentiasa berinteraksi dengan orang bukan Arab dalam bahasa dan tulisan Arab sebagaimana surat baginda kepada pemerintah Rom dan Parsi.[13]

Dalam hal ini apa yang dapat difahami ialah tulisan Rasulullah kepada orang Yahudi adalah dalam bahasa mereka berbeza dengan tulisan Rasulullah kepada bangsa lain yang ditulis dalam bahasa Arab. Ini  kerana nabi tidak percaya kepada orang Yahudi kerana jika ditulis kepada mereka dalam bahasa Arab kemungkinan mereka tidak akan menterjemahkan kesemuanya, menyelewengkan maksudnya, menambahi atau mengurangi daripada sepatutnya.

Dalil di atas jelas membuktikan keharusan dan keperluan terjemahan hadith. Terdapat riwayat yang menjelaskan bahawa Zayd bin Thabit merupakan penterjemah Rasulullah dalam bahasa Parsi, Rom, Qibti, dan Habsyah.

2-      Surat-surat Rasulullah s.a.w kepada pemimpin Negara seperti Kisra, al-Najashi dan al-Muqawqis.

Surat-surat Rasulullah (s.a.w) kepada pemimpin-pemimpin asing Rom, Parsi dan Habsyah ditulis dalam bahasa Arab walaupun Rasulullah mengetahui bahawa mereka berbahasa selain daripada bahasa Arab. Ini adalah disebabkan Rasulullah meyakini bahawa mereka mempunyai penterjemah-penterjemah yang mampu menterjemahkannya dengan amanah ke dalam bahasa mereka. Begitu juga utusan-utusan Rasulullah kepada bangsa-bangsa selain bangsa Arab. Ini dijelaskan dalam riwayat al-Tabrani yang terdapat di dalamnya perawi yang bernama Isma‘il bin ‘Ayyash yang da‘if. Dalam riwayat tersebut dinyatakan bahawa antara sahabat-sahabat baginda yang diutuskan ialah ‘Abd Allah bin Hudhafah kepada Kisra, Salit bin ‘Amrin ke Yamamah, al-‘Ala’ bin al-Hadrami ke Hajar, ‘Amru bin al-‘As ke Oman, Dihyah al-Kalbi ke Qaysar, Shuja’ bin Wahb ke Ghassan dan ‘Amr bin Umayyah al-Damri ke Najashi.[14]

3-      Perakuan nabi mengenai apa yang telah diterjemahkan pada masa hayatnya.[15]

Nabi tidak pernah menghalang penterjemahan yang berlaku pada zamannya malah memberi perakuan antaranya sebagaimana yang dinyatakan dalam riwayat Ja‘far bin Abu Talib.Dalam riwayat tersebut diceritakan bagaimana Ja‘far menceritakan kepada Najashi tentang keindahan Islam dan sudah pasti beliau menceritakan kepada beliau dalam bahasa Arab. Walaupun tidak dinyatakan dalam riwayat tersebut tetapi sudah tentu Najashi memahami perkataan Ja‘far melalui penterjemahnya.

Begitu juga ketika mana Hirqal meminta bantuan penterjemahnya untuk menterjemahkan surat Rasulullah s.a.w kepada beliau. Riwayat al-Bukhari melalui Ibn ‘Abbas

وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ أَخْبَرَنِي أَبُو سُفْيَانَ بْنُ حَرْبٍ أَنَّ هِرَقْلَ دَعَا تَرْجُمَانَهُ ثُمَّ دَعَا بِكِتَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَرَأَهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْلَ وَ{ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ }[16]

Maksudnya: Daripada Ibn ‘Abbas r.a berkata: Abu Sufyan telah menceritakan kepadaku bahawa Hirqal telah memanggil penterjemahnya kemudian meminta didatangkan kepadanya surat nabi s.a.w lalu penterjemahnya membacakannya bismillahirrahman nirrahim daripada Muhammad ‘Abdullah dan rasulnya kepada Hirqal dan ahli kitab marilah bersama-sama di bawah satu kalimah yang sama antara kami dan kamu.

Begitu juga perakuan nabi terhadap penterjemahan Taurat ke dalam bahasa Arab sebagaimana riwayat berikut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَكَانَ أَهْلُ الْكِتَابِ يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ بِالْعِبْرَانِيَّةِ وَيُفَسِّرُونَهَا بِالْعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا{ آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا }[17]

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a berkata: ahli kitab membaca Taurat dengan ‘Ibrani dan mentafsirkannya kepada orang Islam dalam bahasa Arab. Rasulullah s.a.w. bersabda jangan membenarkan ahli kitab dan jangan mendustakannya tetapi ucapkanlah “Kami beriman dengan Allah dan apa yang diturunkan kepada kami”.

Hadith ini jelas membuktikan perakuan Rasulullah kepada penterjemahan dari bahasa ‘Ibrani kepada bahasa Arab.

PERHATIAN PARA ULAMA TERHADAP PENTERJEMAHAN

1.    Pengajaran bukan dalam bahasa Arab

Terdapat di kalangan ulama yang menyampaikan pengajarannya dalam bahasa selain bahasa Arab. Antaranya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Nu‘aym, Ibn ‘Asakir daripada Tamim bin ‘Atiyyah al-‘Anasi berkata: Banyak kali aku mendengar Makhul ketika ditanya lalu beliau menjawab: Nadanam, dalam bahasa Parsi yang bermaksud aku tidak tahu. Makhul adalah seorang berbangsa Parsi. Ini jelas membuktikan bahawa beliau mengajar masyarakatnya dan memahamkan mereka mengenai agama Islam dalam bahasa Parsi.[18]

2.      Penulisan karya dalam bahasa selain Arab

Penterjemahan telah bermula pada zaman Rasulullah s.a.w lagi. Malah Imam al-Bukhari telah meletakkan bab dalam kitab sahihnya “Bab Tarjamah al-Hukkam”.

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz pernah menjelaskan bahawa para sahabat ketika memerangi Parsi dan Rom akan memulakan terlebih dahulu dengan dakwah kepada Islam melalui penterjemah mereka.[19]

SYARAT DAN KRITERIA PENTERJEMAH

1.      Ikhlas dan amanah dalam melakukan penterjemahan. Seorang penterjemah yang berwibawa tidak seharusnya mempunyai kepentingan lain atau sifat taasub kepada pendapat atau kumpulan tertentu.

2.      Mengambil sikap berhati-hati dan teliti ketika melakukan penterjemahan. Sikap berhati-hati dan teliti ini penting bagi memastikan tidak berlaku kesilapan dalam terjemahan yang boleh membawa kepada salah faham terhadap kefahaman teks tersebut.

3.      Mengenal pasti istilah-istilah syarak dan petunjuk-petunjuknya. Perkara ini penting diketahui oleh penterjemah kerana kemungkinan tidak terdapat istilah khusus bagi istilah syarak dalam bahasa yang diterjemahkan. Ataupun kemungkinan istilahnya wujud namun tidak mencapai maksud sebenar istilah syarak tersebut walaupun betul dari sudut bahasanya. Hadith riwayat al-Bara’ bin ‘Azib jelas membuktikan keperluan menjaga dan memelihara istilah syarak. Hadithnya seperti berikut:

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ ثُمَّ قُلْ اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ فَإِنْ مُتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ فَأَنْتَ عَلَى الْفِطْرَةِ وَاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَتَكَلَّمُ بِهِ قَالَ فَرَدَّدْتُهَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا بَلَغْتُ اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ قُلْتُ وَرَسُولِكَ قَالَ لَا وَنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ[20]

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib berkata: Rasulullah s.a.w bersabda jika engkau telah sampai ke tempat tidur maka ambillah wuduk sebagaimana wuduk untuk solat kemudian baringlah di atas lambung kanan kemudian berdoalah Ya Allah aku serahkan wajahku kepadaMu dan aku serahkan urusanku kepadaMu dan aku serahkan belakangku kepadaMu sama ada secara suka atau takut. Tidak ada tempat kembali atau tempat selamat daripada engkau melainkan kepada engkau. Ya Allah ya tuhanku aku beriman dengan kitab engkau yang engkau turunkan dan nabi engkau yang engkau utuskan. Nabi bersabda: jika engkau mati malam ini maka engkau akan mati dalam keadaan fitrah dan jadikanlah doa ini akhir ucapan engkau. Al-Bara’ berkata aku mengulanginya di hadapan nabi ketika mana aku sampai kepada lafaz: Ya Allah aku beriman dengan kitab engkau yang engkau turunkan kemudian aku kata dan Rasul engkau lalu nabi menegur ku dengan katanya tidak dan nabi engkau yang engkau utuskan.

4.      Berpegang dengan akidah yang sahih dan jauh dari segala bidaah dan khurafat. Penterjemah juga seharusnya mempunyai maklumat mengenai akidah-akidah golongan yang sesat dan bagaimana para ulama salaf menolak pandangan dan hujah mereka.[21]

5.      Mengetahui kaedah-kaedah fiqh jika teks yang diterjemahkan mengandungi banyak permasalahan fiqh

6.      Menguasai ilmu bahasa Arab, mengetahui kaedah-kaedah nahw dan saraf, balaghah dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Ini adalah kerana terdapat hadith-hadith nabi yang mengandungi makna majaz (kiasan) atau dikemukakan dalam bentuk al-amthal (perumpamaan). Selain itu terdapat banyak taqdir (makna tersirat) dalam ayat-ayat bahasa Arab.[22] Penterjemah akan melakukan kesilapan jika tidak melihat kepada makna-makna tersirat dalam teks-teks Arab yang bersifat penyempurna. Sebagai contoh hadith:

قَالَ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ حَرَّمَ بَيْنَكُمْ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ[23]

Jika penterjemah menterjemahkan dimadan amwal secara harfiah seperti terjemahan “nabi mengharamkan darah-darah dan harta-harta” maka akan berlakulah kesalahan dalam terjemahan. Apa yang dimaksudkan ialah haram untuk menumpahkan darah dan memakan harta umat Islam secara haram.

7.      Iltizam dengan gaya dan uslub penulis asal. Penterjemah seharusnya cuba mengikuti gaya dan uslub penulis asal bagi mengekalkan kehendak dan maksud penulis.

8.      Mengenal pasti perbezaan lafaz-lafaz yang sama dari sudut ejaannya tetapi berbeza dari sudut maknanya. Maksud lafaz-lafaz ini dapat ditentukan melalui siyaq dan struktur ayat seperti al-waliy, al-Ayat, al-jama‘ah, al-sunnah dan seumpamanya.

9.      Mengetahui banyaknya mufradat (lafaz-lafaz) dalam bahasa Arab bagi satu makna tidak sebagaimana bahasa Melayu. Namun terdapat di kalangan ulama yang berpendapat lafaz-lafaz yang banyak itu lebih kepada sifat.

FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA KESALAHAN DALAM TERJEMAHAN

1.       Pergantungan kepada makna dari sudut bahasa dengan merujuk kepada mu‘jam bahasa tanpa merujuk kepada tafsiran para ulama atau kitab-kitab syarah hadith.

2.       Pergantungan sepenuhnya kepada buku-buku terjemahan tanpa merujuk kepada kitab-kitab asal.

3.       Tidak memastikan apa yang diterjemahkan itu betul atau tidak sebagaimana yang terdapat dalam kitab asal.

4.       Terjemahan secara harfiah. Terdapat dalam hadith-hadith nabi lafaz-lafaz yang sukar difahami dan istilah-istilah yang khusus seperti hadith mengenai al-wukuf bi ‘arafah. Jika diterjemahkan secara harfiah ialah tinggal di Arafah. Maksud yang lebih tepat ialah tinggal di Arafah untuk berdoa, berzikir dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t.[24]

Syarat-Syarat Dalam Penterjemahan Hadith-Hadith Nabi s.a.w

1-      Mengetahui dan menguasai ilmu hadith. Ini adalah kerana luasnya skop perbahasan ilmu hadith yang merangkumi ilmu hadith riwayah dan ilmu hadith dirayah.

2-      Mengenal pasti istilah-istilah yang digunakan dalam bidang hadith beserta maksudnya dengan merujuk kepada karya-karya hadith muktabar. Sebagai contoh istilah la asla lahu dan laysa lahu asl. Para ulama memberikan maksud istilah ini kepada tiga iaitu:

a)      Tidak ada isnad bagi hadith tersebut. Pendapat ini dinukilkan oleh Imam al-Suyuti daripada Ibn Taymiyyah dan dipegang oleh ramai di kalangan ulama muta’akhirin.[25]

b)      Tidak ada asal sahih bagi hadith. Dalam erti kata yang lain sama lah ia dengan palsu.

c)      Tidak ada asal bagi hadith melalui jalan ini bukan dari semua jalan (tariq).[26]

Bagitu juga istilah munkar[27] dan maqtu[28] yang digunakan dalam pemakaian yang pelbagai.

3-      Mengambil sikap berhati-hati dan teliti ketika menterjemahkan teks hadith. Sikap berhati-hati sentiasa diamalkan oleh para sahabat apabila ramai di kalangan mereka apabila selesai meriwayatkan hadith akan mengakhirinya dengan nahwu haza, syubhahu atau qariban minhu. Malah Anas bin Malik sendiri ketika meriwayatkan hadith akan mengakhirinya dengan sebutan aw kama qala.[29]

4-     Merujuk kepada kitab-kitab syarah hadith dan kitab-kitab yang membahaskan mengenai lafaz-lafaz gharib hadith. Sebagai contoh perkataan حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُاللَّهِ yang terdapat dalam hadith riwayat Thawban seperti yang berikut:

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِك[30]

Maksudnya: Daripada Thawban berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: sentiasalah ada satu golongan daripada umatku yang menzahirkan kebenaran, tidak memberi mudarat kepada mereka orang yang menyalahi mereka sehinggalah datang hari kiamat sedangkan mereka tetap dalam keadaan tersebut. 

 

Perkataan حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ diterjemahkan dengan sehingga datangnya hari kiamat sedangkan ada di kalangan penterjemah yang menterjemahkannya secara harfiah iaitu “dengan datangnya hukum Allah”.

5-      Mengetahui istilah khusus yang digunakan oleh ulama tertentu supaya tidak diterjemahkan bukan menurut kehendaknya yang sebenar.

Sebagai contoh maksud istilah munkar hadith di sisi Imam al-Bukhari. Ibn Qattan telah menukilkan daripda Imam al-Bukhari dengan katanya: Setiap perawi yang aku hukumkan sebagai munkar al-hadith maka tidak halal mengambil riwayat daripadanya.[31] Begitu juga istilah la ba’sa bihi di sisi Ibn Ma‘in yang kadangkala membawa maksud al-Tawthiq.

Abu Zur‘ah berkata: aku berkata kepada ‘Abd al-Rahman bin Ibrahim apa pandangan kamu terhadap ‘Ali bin Hawshab al-Fazari? Lalu beliau menjawab la ba’sa bihi, Abu Zur‘ah berkata kenapa engkau tidak meghukumkan sebagai thiqah, kami tidak mengetahui melainkan kebaikan baginya. ‘Abd al-Rahman menjawab sesungguhnya aku telah mengucapkan kepada engkau bahawa beliau adalah thiqah.[32]

6-      Mengenal pasti maksud al-Kayl dan al-Wazn yang banyak terdapat dalam hadith nabi seperti al-Sa dan al-Mud dengan istilah masa kini. Antara buku yang boleh membantu penterjemah ialah buku yang berjudul al-Kharaj fi al-Dawlah al-Islamiyyah oleh Dr Diya’ al-Din al-Ris, al-Nuzum al-Islamiyyah oleh Dr Subhi Salih, al-‘Idah wa al-Tibyan fi Ma‘rifah al-Mikyal wa al-Mizan oleh Ibn Rif‘ah al-Ansari, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhayli dan kitab al-Amwal fi Dawlah al-Khilafah oleh ‘Abd al-Qadim[33]

7-      Mengenal pasti nama–nama tempat dan negeri yang disebutkan di dalam hadith dengan dibandingkan kedudukannya dari sudut geografi pada masa kini seperti Rawha’, Bahrain, Busra, Thaniyyah al-Wada’, Abtah, al-Thaniyyah al-‘Ulya, al-Thaniyyah al-Sufla. Begitu juga rujukan yang terdapat dalam Ma‘ajim al-Buldan selain mengambil kira pembahagian negari pada masa dahulu seperti Yaman, Sham, Bahrain dan Palestin.[34]

8-      Mengenal pasti nama-nama buah yang dinyatakan dalam hadith seperti uttrujjah, hanzalah dan seumpamanya.

9-      Mengenal pasti maksud istilah-istilah yang digunakan bagi menggambarkan jarak seperti al-Farsakh, al-Farid, al-Mayl sebagaimana yang terdapat dalam hadith-hadith nabi.

10-  Mengenal pasti tingkat-tingkat (maratib)al-Jarh wa al-Ta‘dil dan petunjuknya di sisi ulama. Antara rujukan yang boleh dimanfaatkan oleh penterjemah ialah Muqaddimah Kitab al-Jarh wa al-Ta‘dil oleh Ibn Abi Hatim, Muqadimah kitab Mizan al-I‘tidal oleh al-Dhahabi, Sharh al-Alfiyyah oleh al-‘Iraqi dan Muqaddimah Taqrib al-Tahdhib oleh Ibn Hajar.[35]

11-  Mengenal pasti lafaz-lafaz yang jarang digunakan (nadir) dalam al-Jarh wa al-Ta‘dil dan maknanya di sisi ulama. Dalam hal ini pengkaji boleh merujuk kepada kitab Mizan al-I’tidal oleh al-Dahhabi, Hady al-Sari oleh Ibn Hajar, al-Tankil bima fi Ta’nib al-Kawthari min al-Abatil oleh al-Mu’allimi dan Sharh Alfaz al-Tajrih al-Nadirah aw Qalilah al-Isti‘mal oleh Dr Sa’di al-Hashimi.[36]

12-  Mengenal pasti maksud simbol-simbol (rumuz)yang terdapat dalam kitab-kitab hadith

13-  Mengenal pasti maksud setiap sighah al-Tahammul wa al-Adayang digunakan dalam kitab-kitab hadith seperti haddathana, akhbarana, anba’ana, sami‘tu dan seumpamanya.

14-  Tidak menjadikan terjemahan sebagai ganti daripada lafaz-lafaz sunnah dan sirah terutamanya lafaz-lafaz yang dituntut oleh syarak untuk kita membacanya atau menjadi ibadat seperti doa-doa dan zikir-zikir.

15-  Mengelakkan daripada penambahan dalam terjemahan tanpa meletakkan tambahan tersebut dalam kurungan.

PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN DALAM TERJEMAHAN BAHASA ARAB KE DALAM BAHASA MELAYU

Perbezaan uslub antara dua bahasa dari sudut susunan teks sama ada di dahulukan atau di akhirkan. Teks dalam bahasa Arab kebanyakannya dimulakan dengan fi‘il kemudian fa‘il berbeza dengan teks dalam bahasa Melayu yang dimulakan dengan fa‘il kemudian fi‘il. Begitu juga banyaknya penggunaan sifat dalam bahasa Arab sebagaimana sabda nabi

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا[37]

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: bersegeralah dengan tujuh amalan: Adakah kamu menunggu melainkan kefakiran yang menjadikan kamu lupa ketaatan kepada Allah atau kekayaan yang melampau sehingga melalaikan kamu dari urusan agama atau kesakitan yang merosakkan tubuh badan atau ketuaan yang melemahkan tubuh badan sehingga tidak mampu bergerak atau kematian yang membinasakan.

PENGENALAN KITAB TERJEMAHAN RIYAD AL-SALIHIN JAKIM

Karya Terjemahan Riyad al-Salihin disusun oleh Unit Analisis Tapisan, Bahagian Penyelidikan Islam. JAKIM. Karya ini merupakan terjemahan dan huraian sebuah kitab hadith karya Imam al-Nawawi[38] yang berjudul Riyad al-Salihin[39].  Kitab yang telah diterbitkan dalam 8 jilid ini disunting oleh Prof Madya Dr Abdul Wahab bin Mohd Saleh dan disemak oleh  Sahib al-Samahah Dato’ Hj Ismail Yusuf, Bekas Mufti Kerajaan Kelantan.

 

Matlamat asal penerbitan kitab ialah bagi membanyakkan bahan-bahan bacaan khususnya kitab-kitab tersohor tulisan ulama silam yang terkenal untuk dijadikan rujukan kepada masyarakat Islam. Terjemahan kitab ini daripada bahasa arab ke bahasa melayu  bertujuan memudahkan masyarakat Islam yang tidak menguasai bahasa arab agar sama-sama berkongsi manfaat dan kebaikan daripada kitab ini. Selain menterjemahkan himpunan hadith dalam kitab ini, beberapa pengajaran dan teladan juga turut dimuatkan agar maksud sebenar dalam konteks pengertian hadith dapat difahami oleh pembaca dengan lebih mudah dan tepat.

Di samping itu, ia dapat mengelakkan sebarang penyelewengan atau salah faham yang mungkin berlaku jika hanya bergantung kepada matan hadith yang bersifat umum. Tambahan pula maksud dan mesej yang terkandung dalam suatu hadith Rasulullah s.a.w. tidak akan difahami sepenuhnya tanpa mengetahui sebab musabab atau susur galur peristiwa yang berlaku disebalik periwayatan hadith berkenaan. Justeru melalui pengajaran dan teladan, perkara ini dapat dikemukakan bagi memahami maksud sesuatu hadith secara menyeluruh. Walaupun bahagian pengajaran dan teladan ini tiada dalam kitab asal namun ia dianggap penting dengan mengambil kira keperluan masyarakat tempatan dan tuntutan semasa.

Metode Penulisan Kitab

Susunan terjemahan kitab ini adalah mengikut susunan kitab asalnya iaitu Kitab Riyad al-Salihin. Seperti dalam kitab asalnya, pengarang akan menterjemah berdasarkan bab iaitu dimulakan dengan huraian ringkas daripada Imam al-Nawawi sendiri, ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dan hadith di dalam bab tersebut. Kemudian barulah pengarang akan memberikan ulasan dan huraian secara ringkas berdasarkan setiap hadith yang terdapat di dalam bab tersebut. Dari sudut huraiannya pula, pengarang hanya menguraikannya secara ringkas sahaja sekadar untuk memberikan kefahaman umum kepada masyarakat. Penekanan berkenaan dengan ilmu hadith dirayah hanya dapat dilihat ketika terjemahan dilakukan sahaja namun tidak pada huraian hadith.

Begitu juga perbincangan mengenai hukum fiqh, ianya tidak melibatkan perbincangan di kalangan mazhab empat. Pengarang juga tidak memetik pendapat dan kata-kata ulama lain dalam huraian hadith.

Melalui pembacaan penulis terhadap Kitab Riyad al-Salihin terbitan JAKIM, penulis menemui beberapa kesilapan dan kesalahan yang boleh dikategorikan seperti berikut:

a)      Terjemahan salah

b)      Terjemahan harfiah yang tidak tepat

c)      Mentakwilkan makna lafaz yang tidak dinyatakan dalam hadith

a)        Terjemahan Salah

Antara contoh-contoh terjemahan yang salah ialah seperti berikut:

Contoh 1

قَالَ : فَقُلتُ : يَا رسولَ اللهِ ، أُخلَّفُ بعدَ أصْحَابي ؟ قَالَ : إِنَّكَ لَنْ تُخَلَّفَ فَتَعملَ عَمَلاً تَبتَغي بِهِ وَجْهَ اللهِ إلاَّ ازْدَدتَ بِهِ دَرَجةً ورِفعَةً ، وَلَعلَّكَ أنْ تُخَلَّفَ حَتّى يَنتَفِعَ بِكَ أقْوَامٌ وَيُضَرَّ بِكَ آخرونَ . اللَّهُمَّ أَمْضِ لأصْحَابي هِجْرَتَهُمْ ولاَ تَرُدَّهُمْ عَلَى أعقَابهمْ ، لكنِ البَائِسُ سَعدُ بْنُ خَوْلَةَ

Aku bertanya lagi “wahai Rasulullah adakah aku terasing daripada sahabat-sahabatku di sini kerana tidak berhijrah? Jawab baginda engkau tidak tertinggal. Buatlah kebaikan yang engkau niatkan kerana Allah pasti menambah darjat kemuliaan engkau mudah-mudahan ketinggalan engkau (tidak ikut berhijrah) orang ramai akan dapat manfaat daripadamu sekalipun ada orang yang merasa rugi[40].

Hadith ini menceritakan mengenai Sa‘ad bin Abi Waqqas yang sakit ketika di Mekah lalu beliau bertanyakan kepada Rasulullah adakah beliau akan mati di Mekah dan ditinggalkan oleh sahabat-sahabatnya.? Ini adalah kerana Rasulullah melarang sahabat-sahabatnya yang telah berhijrah dari Mekah ke Madinah untuk tinggal di Mekah. Rasulullah memberitahu kepada Sa‘ad bin Abi Waqqas bahawa umurnya masih panjang sehingga umat Islam akan mendapat manfaat daripadanya. Justeru terjemahan hadith di atas jelas menyeleweng dari maksudnya yang sebenar dan tidak boleh diterima.

Contoh 2

وَيْحَكَ اغْضُضْ مِنْ صَوتِكَ فَإِنَّكَ عِنْدَ النَّبي صلى الله عليه وسلم

Malangnya engkau rendahkan suaramu[41].

Perkataan “malangnya” sebagaimana terjemahan hadith di atas adalah tidak tepat kerana “waihaka” membawa maksud celaka atau digunakan bagi menggambarkan kemarahan.

Contoh 3

قَالَ : سَمِعتُ كَعْبَ بنَ مالكٍ  رضي الله عنه  يُحَدِّثُ بحَديثهِ حينَ تَخلَّفَ عن رسولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم في غَزْوَةِ تَبُوكَ

Daripada Abdullah bin Ka‘ab bin Malik adalah di antara anaknya yang memimpin radiyallah ‘anhu ketika buta katanya: bahawa aku mendengar bapaku Ka‘ab bin Malik r.a menceritakan kisahnya ketika dia turut serta bersama Rasulullah s.a.w dalam peperangan Tabuk.[42]

Perkataan “takhallafa” dalam hadith di atas membawa maksud “tidak menyertai” bukan “turut serta dalam peperangan Tabuk” sebagaimana terjemahan hadithnya. Terjemahan sebegini boleh mengelirukan pembaca kerana Ka‘ab sebenarnya tidak menyertai peperangan Tabuk.

Contoh 4

فقلتُ : إِنِّي أُمْسِكُ سَهْمِي الَّذِي بِخَيبَر

Aku memiliki bahagianku yang diperolehi dalam peperangan Khaibar[43].

Perkataan “umsiku” lebih tepat diterjemahkan dengan menyimpan berbanding memiliki. Terdapat perbezaan yang jelas antara perkataan memiliki dan menyimpan.

Contoh 5

لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ سَبْعِينَ مِنْ أهْلِ المَدِينَةِ لَوَسِعَتْهُمْ، وَهَلْ وَجَدْتَ أَفضَلَ مِنْ أنْ جَادَتْ بنفْسِها لله - عز وجل؟ رواه مسلم .

Taubatnya itu jika dibandingkan adalah sama beratnya dengan taubat tujuh puluh orang munafik di Madinah. Pernahkah engkau menemui orang yang menyerahkan dirinya untuk Allah ‘azza wa jalla[44].

Terjemahan yang paling tepat bagi “qusimat” dalam hadith di atas ialah “dibahagikan” manakala lawasi‘athum lebih sesuai diterjemahkan sebagai “mencukupi bagi mereka” berbanding jika diterjemahkan dengan “sama beratnya”. Dalam hadith ini juga tidak menyebut golongan munafik. Justeru timbul persoalan dari manakah datangnya perkataan munafik dalam hadith ini?

Contoh 6

فَلَمَّا دُفِنَ قَالَتْ فَاطِمَةُ رَضي الله عنها: أَطَابَتْ أنْفُسُكُمْ أنْ تَحْثُوا عَلَى رَسُول الله  صلى الله عليه وسلم التُّرَابَ؟! رواه البخاري .

Apabila Rasulullah s.a.w telah dimakamkan Fatimah r.a berkata, Wahai Anas bertuahlah kamu semua dapat mengebumikan Rasulullah s.a.w[45].

Perkataan “Atabat anfusukum an tahthu ‘ala Rasulillah” sesuai diterjemahkan sebagai “adakah sampai hati kamu semua untuk mengebumikan Rasulullah dengan tanah

Contoh 7

حَتَّى جَاءت امْرَأةٌ وَمَعَهَا صَبيٌّ لَهَا ، فَتَقَاعَسَتْ أنْ تَقَعَ فيهَا، فَقَالَ لَهَا الغُلامُ : يَا أُمهْ اصْبِري فَإِنَّكِ عَلَى الحَقِّ ! رواه مسلم .

Tatkala anaknya dipisahkan untuk dilemparkan ke dalam api (bara) anaknya berkata[46]

Dalam hadith ini tidak dinyatakan bahawa bayi tersebut akan dipisahkan daripada ibunya. Malah hadith ini menceritakan bagaimana si bayi menenangkan ibunya supaya tidak takut kerana ibunya berada di atas kebenaran. Bayi dalam hadith ini merupakan antara tiga kisah bayi yang diberikan kekuasaan oleh Allah s.w.t. untuk berkata-kata selain daripada kisah nabi Isa a.s. ketika bayi dan kisah bayi yang mendedahkan lelaki yang berzina dengan perempuan yang melahirkannya. Justeru terjemahan yang tepat ialah bayi dan bukan anak.

Contoh 8

مَنْ سَألَ اللهَ تَعَالَى الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ بَلَّغَهُ اللهُ مَنَازِلَ الشُّهَدَاءِ ، وَإنْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ  رواه مسلم .

Sesiapa yang mohon kepada Allah mati syahid dengan bersungguh-sungguh nescaya Allah akan samakan tarafnya dengan orang yang mati syahid walaupun ia mati di tempat tidur[47].

Perkataan yang lebih tepat bagi “ballaghahu” ialah Allah akan “sampaikannya” dengan kedudukan orang yang mati syahid. Terdapat perbezaan yang ketara antara perkataan samakan dan sampaikan.

Contoh 9

عن أبي يعلى شداد بن أوس - رضي الله عنه - ، عن النَّبيّ - صلى الله عليه وسلم - ، قَالَ : الكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ ، وَعَمِلَ لِمَا بعدَ المَوتِ ، والعَاجِزُ مَنْ أتْبَعَ نَفْسَهُ هَواهَا وَتَمنَّى عَلَى اللهِ  رواه الترمذي ، وَقالَ : حديث حسن

Orang yang bijak itu ialah mereka yang mengambil berat tentang dirinya dan beramal untuk mati. Orang lemah itu ialah mereka yang menurutkan hawa nafsunya sedangkan dia bercita-cita untuk menjadi hamba Allah yang diredai.[48]

Terjemahan “wa ‘amila lima ba‘da al-Mawt” lebih tepat diterjemah dengan “beramal untuk faedah selepas mati” berbanding terjemahan “beramal untuk mati”. Manakala perkataan “wa tamanna ‘ala Allah” lebih tepat diterjemah sebagai “berharap bahawa dia akan bertaubat selepas ini kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang”

Contoh 10

أنَّ النَّبيّ - صلى الله عليه وسلم - كَانَ يقول : اللَّهُمَّ إنِّي أَسألُكَ الهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالعَفَافَ ، وَالغِنَى رواه مسلم

Daripada Ibn Mas‘ud r.a. bahawasanya nabi s.a.w pernah berdoa ya Allah aku memohon kepadamu petunjuk ketakwaan menjauhkan diri dari kejahatan dan kekayaan jiwa.[49]

Terjemahan “wa al-Ghina” dengan kekayaan jiwa merupakan terjemahan yang salah kerana al-Ghina di sini bermaksud cukup dan tidak mengharapkan pertolongan orang lain melainkan Allah s.w.t.

Contoh 11

وَأَطِيعُوا أُمَرَاءكُمْ تَدْخُلُوا جَنَّةَ رَبِّكُمْ

Taatlah kepada pemimpin-pemimpin kamu (yang beriman).[50]

Perkataan “yang beriman” tidak dinyatakan dalam hadith di atas. Justeru penambahan perkataan beriman tidak tepat melainkan terdapat dalil yang membuktikannya

Contoh 12

مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي ؟ قُلْتُ : الله - ثلاثاً وَلَمْ يُعاقِبْهُ وَجَلَسَ . مُتَّفَقٌ عَلَيه

Siapakah yang dapat mempertahankan engkau daripada seranganku ini? jawabku: Allah  sebanyak tiga kali. Nabi pun duduk setelah orang Badwi itu tidak melakukan sesuatu kepada baginda.[51]

Hadith di atas menceritakan bagaimana seorang lelaki mengugut nabi s.a.w. dengan ancaman pedang kemudian nabi menjawab bahawa yang akan menyelamatnya ialah Allah s.w.t. Setelah itu pedang lelaki tersebut jatuh dan nabi mengambilnya lalu bertanya kepada lelaki tersebut soalan yang sama siapakah yang akan menyelamatkannya? Dalam hadith digambarkan bahawa nabi s.a.w. tidak menghukumnya dan lelaki tersebut duduk.

Contoh 13

وَقَالَ الثَّالِثُ : اللَّهُمَّ اسْتَأْجَرْتُ أُجَرَاءَ وأَعْطَيْتُهُمْ أجْرَهُمْ غيرَ رَجُل واحدٍ تَرَكَ الَّذِي لَهُ وَذَهبَ

Kata orang yang ketiga pula Ya Allah dahulu aku pernah mengupah pekerja dan aku bayar upah mereka, seorang pekerja telah pergi menghilang diri tetapi tanpa mengambil upahnya itu.[52]

Dalam terjemahan di atas, penterjemah tidak menterjemahkan perkataan “ghayra” yang bermaksud “melainkan”. Justeru terjemahan di atas menjadi cacat dan tidak sempurna sehingga menjadikan maksud hadith tersebut tergantung.

Contoh 14

فآذَنَ رسولُ الله - صلى الله عليه وسلم - النَّاسَ بِتَوْبَةِ الله - عز وجل - عَلَيْنَا حِينَ صَلَّى صَلاةَ الفَجْر فَذَهَبَ النَّاسُ يُبَشِّرُونَنَا

Setelah selesai sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w. mengumumkan kepada orang ramai bahawa Allah taala telah menerima taubat kami. Orang ramai pun datang bergembira bersama kami.[53]

Terjemahan yang lebih tepat bagi hadith di atas ialah “orang ramai mengucapkan tahniah kepada kami”

Contoh 15

قَالَ : مَا يُصيبُ المُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ ، وَلاَ وَصَبٍ، وَلاَ هَمٍّ ، وَلاَ حَزَنٍ ، وَلاَ أذَىً ، وَلاَ غَمٍّ ، حَتَّى الشَّوكَةُ يُشَاكُهَا إلاَّ كَفَّرَ اللهُ بِهَا مِنْ خَطَاياهُ

Daripada Abu Sa‘id dan Abu Hurairah r.a katanya , sabda Rasulullah s.a.w tiada seorang Muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, kesiksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenainya melainkan dihapuskan oleh Allah sebahagian daripada kesalahannya[54].

Terjemahan hadith di atas gagal membezakan antara perkataan “nasab”, “wasab”, “hammim”, “aza”, dan “ghammim” sedangkan setiap perkataan tersebut mempunyai maksudnya yang tersendiri. Justeru terjemahan yang lebih tepat bagi hadith ini ialah “Tidak menimpa seorang Muslim daripada kepenatan dan kesakitan yang disebabkan kecederaan tubuh badan dan tidak juga kesakitan yang berpanjangan dan tidak juga kesedihan terhadap apa yang akan berlaku dan tidak juga kesedihan di sebabkan kehilangan yang dikasihi dan tidak juga kesakitan disebabkan perbuatan orang dan tidak juga kesedihan hati disebabkan apa yang berlaku melainkan dihapuskan oleh Allah daripada kesalahannya”

Contoh 16

ثُمَّ قَالَ : يَرْحَمُ اللهُ مُوسَى قَدْ أُوذِيَ بأكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبر

Semoga Allah tetap menghormati Musa sesungguhnya ia telah diganggu lebih banyak daripada ini tetapi ia sabar[55].

Perkataan “yarhamu Allah” sesuai diterjemahkan dengan “Allah merahmati” bukan menghormati.Manakala perkataan “uziya” sesuai diterjemahkan sebagai “disakiti”

Contoh 17

وعن ابن مسعود رضي الله عنه : أن رَسُول الله - صلى الله عليه وسلم - ، قَالَ : إنَّهَا سَتَكونُ بَعْدِي أثَرَةٌ وأُمُورٌ تُنْكِرُونَها ! قَالُوا : يَا رَسُول الله ، فَمَّا تَأْمُرُنا ؟ قَالَ : تُؤَدُّونَ الْحَقَّ الَّذِي عَلَيْكُمْ ، وَتَسأَلُونَ الله الَّذِي لَكُمْ مُتَّفَقٌ عَلَيهِ .

Mintalah kepada Allah untuk mendapatkan hak kamu (daripada hak yang ada di Baitulmal).[56]

Terjemahan perkataan yang bergaris dalam hadith di atas dianggap salah dan tidak boleh diterima kerana hadith ini tiada kaitannya dengan hak yang terdapat di Baitulmal. Terjemahan yang tepat ialah “Mintalah kepada Allah hak-hak kamu”

b) Terjemahan Harfiah

Contoh

إنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الأُول

Sesungguhnya kesabaran itu hanyalah dikira di peringkat mula-mula di pertembungan.[57]

Terjemahan di atas merupakan salah satu contoh terjemahan harfiah yang sukar difahami dan mengelirukan. Terjemahan yang lebih tepat ialah “sesungguhnya sabar yang benar-benar ialah pada waktu pertama kali ditimpa” 

 

b)        Mentakwilkan Makna Lafaz Yang Tidak Dinyatakan Dalam Hadith

Contoh

فَبَيْنَما هُوَ عَلَى ذلِكَ إِذْ أَتَى عَلَى دَابَّةٍ عَظِيمَةٍ قَدْ حَبَسَتِ النَّاسَ

Pada suatu hari ketika ia berulang alik (daripada rumah tukang sihir dan rumahnya) ia terserempak dengan seekor binatang yang besar (singa) yang menghalang orang ramai berjalan[58].

Timbul persoalan daripada terjemahan hadith di atas, bagaimana penterjemah menterjemahkan “dabbah ‘azimah” sebagai singa sedangkan ia tidak dinyatakan dalam hadith ataupun kitab-kitab syarah hadith.

Berdasarkan contoh-contoh di atas, jelas menunjukkan beberapa kesalahan dan kesilapan penterjemah dalam terjemahan hadith yang membawa kesan besar terhadap kefahaman hadith. Antaranya merubah maksud hadith yang sebenar, menambah lafaz dan maksud yang tidak dinyatakan dalam hadith, meninggalkan perkataan yang sepatutnya diterjemah, mentakwilkan perkataan yang sepatutnya tidak ditakwil, terjemahan yang tidak tepat dengan maksud sebenar hadith dan seumpamanya. Justeru dalam hal ini pihak berwajib perlu memainkan peranan dalam memastikan hadith-hadith nabi diterjemah dengan sebaiknya supaya tidak menimbulkan salah faham dan kekeliruan di kalangan masyarakat.

PENUTUP

Penulisan ini berjaya mengetengahkan kepentingan menterjemah hadith-hadith nabi ke dalam bahasa Melayu. Melalui terjemahan hadith-hadith nabi ke dalam bahasa Melayu, masyarakat akan dapat didedahkan dengan kandungan hadith-hadith nabi dan pengajaran yang boleh dikeluarkan daripadanya. Terjemahan hadith-hadith nabi perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati bagi mengelakkan berlaku kesilapan dan kesalahan. Beberapa syarat dan kriteria perlu dipatuhi oleh penterjemah sebelum menterjemah hadith-hadith nabi s.a.w. kajian terhadap buku terjemahan hadith Riyad al-Salihin terbitan JAKIM mendapati terdapat beberapa kesalahan mudah yang dilakukan oleh penterjemah dalam menterjemahkan hadith-hadith tersebut. Antara kesalahan-kesalahan yang dilakukan ialah merubah maksud hadith dengan menambah maksud yang bukan dikehendaki daripada hadith, mengurangi maksud hadith yang sebenar, mentakwil lafaz hadith tanpa mendatangkan bukti dan menterjemahkan hadith secara harfiah dengan terjemahan yang tidak tepat.

 



[1] Ahmad bin ‘Abd al-Halim Ibn Taymiyyah (t.t), Majmu‘ al-Fatawa, tahqiq ‘Amir al-Jazzar, Bayrut: Dar al-Wafa’, j.4, h. 116-117.

[2] Taqiy al-Din al-Hilali, Tafsir Ma‘ani al-Qur’an al-Karim Muqtabas min Tafsir al-Tabari wa Ibn Kathir wa Sahih al-Bukhari, h. 2.

[3]Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, Kaherah: Dar al-Ma‘arif, j.12, h.66, al-Fayruz Abadi, al-Qamus al-Muhit, Muassasah al-Risalah, j.1, h. 1399.

[4] Muhammad Salih al-Sini (t.t), al-Hasub fi Khidmah al-Tarjamah wa al-Ta‘rib. www.emro.who.int, 6 September 2011.

[5]

[6] ‘Abd al-Nafi‘ Zalal ‘Abd al-Hay, Mu‘awwiqat Tarjamah al-Sunnah wa al-Sirah al-Nabawiyyah wa Subul al-Taghallub ‘alayha fi Lughatay al-Farisiyyah wa al-Bistu, h.13.

[7] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman Abu Bakr al-Suyuti,  Tadrib al-Rawi fi Sharh Taqrib al-Nawawi, Bayrut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, j.2, h.101.

[8] Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani (1427), Nuzhah al-Nazar Sharh Nukhbah al-Fikar, tahqiq ‘Ali bin Hasan, Dar Ibn al-Jawzi, h.129.

[9]Ahmad bin ‘Ali bin Thabit  Abu Bakr Al-Khatib al-Baghdadi (t.t), al-Kifayah fi ‘Ilmi al-Riwayah, Bab zikr man kana yazhabu ila ijazat al-Riwayat ‘ala al-ma‘na min al-salaf wa siyaq ba’d, tahqiq: Abu ‘Abd Allah al-Suraqi, Madinah: al-Maktabah al-‘Ilmiyyah j.1, h. 205.

[10] Muhammad bin ‘Isa bin Thawrah al-Tirmidhi, Jami‘ al-Tirmidhi, Kitab al-‘Ilal, j.13, h. 7.

[11] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman Abu Bakr al-Suyuti, Tadrib al-Rawi fi Sharh Taqrib al-Nawawi, Bayrut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, j. 2, h.98-99. Lihat juga Asghar ‘Ali Imam Mahdi al-Salafi (t.t ), Mas’uliyyat al-Mutarjim al-Shar’iyyah wa al-Khuluqiyyah, h. 36.

[12] Muhammad bin ‘Isa bin Thawrah ( t.t ) Jami‘ al-Tirmidhi, tahqiq Ibrahim ‘Atwah ‘Iwad, Kitab al-Isti’zan wa al-Adab ‘an Rasulillah Bab ma ja’a fi Ta‘lim al-Siryaniyyah, no. hadith 2639.

[13]Muhammad bin Sa‘d bin Mani‘, al-Tabaqat al-Kubra, Bayrut: Dar al-Sadir j.2, h. 358-359, Lihat juga al-Bukhari (2010), al-Tarikh al-Kabir, Mesir: Dar al-Faruq al-Hadithah. j.3, h. 380-381.

[14] Al-Tabrani (1983), Mu‘jam al-Tabrani, tahqiq Hamdi ‘Abd al-Majid al-Salafi, Maktabah al-Zahra’, j.8, h. 20.

[15]Lutfi b. Muhammad al-Zaghir, Tarjamah al-Sunnah al-Nabawiyyah Dirasat Ta’siliyah. Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Tarjamah al-Sunnah wa al-Sirah al-Nabawiyyah di Riyad, Arab Saudi pada 23-25/2/1429, h. 12.

[16] Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tauhid, Bab Ma Yajuz min Tafsir al-Taurat wa ghayriha min kutub Allah bi al-‘Arabiyyah wa ghayriha li Qaulihi Allah Ta‘ala….

[17] Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, Bab قولوا آمنا بالله وما أنزل إلينا

[18]Ahmad bin ‘Abd Allah al-Asbahani Abu Nu‘aym (1405H), Hilyah al-Awliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’, Bayrut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, j.5, h. 179. Lihat juga Ibn al-Asakir (1995), Tarikh Madinah Dimashq, tahqiq Muhib al-Din Abu Sa‘id ‘Umar bin Gharamah al-Ghumari, Bayrut: Dar al-Fikr, j.60, h. 218.

[19] ‘Abdullah bin Baz & Muhammad bin Salih al-‘Uthaymin (t.t), Fatawa li al-Musafirin wa al-Mughtaribin, Dammam: Wizarat I’lam, h. 86-87.

[20]Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wudu’, Bab Fadl Man Bata ‘ala al-Wudu’, no. hadith 239.

[21] Muhammad bin Abu Bakr Ibn Qayyim (1978) Shifa’ al-‘Alil fi Masa’il al-Qada’ wa al-Qadar wa al-Hikmah wa al-Talil, Bayrut: Dar al-Fikr, j.1, h. 273.

[22] ‘Abd al-Nafi’ Zalal ‘Abd al-Hay, Mu‘awwiqat Tarjamah al-Sunnah wa al-Sirah al-Nabawiyyah wa Subul al-Taghallub ‘alayha fi Lughatay al-Farisiah wa al-Bistu, h.12. Lihat juga Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin Taymiyah (t.t), Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim li Mukhalafah Ashab al-Jahim, tahqiq Dr. Nasir al-‘Aql, Arab Saudi: Wizarah al-Shu’un al-Islamiyyah wa al-Awqaf, j.1, h. 52.

[23] Ahmad bin Hanbal, Musnad Ahmad bin Hanbal, j.38, no. hadith 23489.

[24] ‘Abd al-Nafi’ Zalal ‘Abd al-Hay, Mu‘awwiqat Tarjamah al-Sunnah wa al-Sirah al-Nabawiyyah wa Subul al-Taghallub ‘alayha fi Lughatay al-Farisiah wa al-Bistu, h.12

[25]Jalal al-Din al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, j.1, h. 501. 

[26] Ibn Abi Hatim (1985), ‘Ilal al-Ahadith, Bayrut: Dar al-Ma‘rifah, j.1, h. 131.

[27]  Ibn Rajab (1398), Sharh ‘Ilal al-Tirmidhi, tahqiq Nur al-Din ‘Itr, Dar al-Malah, j.2, h. 582, al-Dhahabi, (1413), al-Muqizah fi ‘ilm Mustalah al-Hadith, ‘inayah ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Halb: Maktab al-Matbu’ah al-Islamiyyah h. 77 -88

[28] Al-Shaza al-Fayah, j.1, h. 141. Lihat juga Ahmad bin Ali bin Hajar (1404H) Al-Nukat ‘ala Muqaddimah Ibn al-Salah , tahqiq Dr Rabi‘ al-Madkhali , Madinah: al-Jami‘ah al-Islamiyyah,  j.2, h. 514, Jalal al-Din al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, j.1, h. 135. Lihat juga Tahir al-Jaza’iri al-Dimashqi, Tawjih al-Nazar ila Usul al-Athar, h. 177

[29] Al-Khatib al-Baghdadi (1403), al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami‘, tahqiq Dr Mahmud al-Tahhan, Riyad: Maktabah al-Ma‘arif j.2, h. 35. Lihat juga Sharh ‘Ilal al-Tirmidhi, j.1, h. 53.

[30] Muslim bin al-Hajjaj al-Naysaburi , Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Qawluhu Sallallahu ‘Alayhi Wasallam La Tazalu Ta’ifatun Min Ummati Zahirin, no hadith. 3544.

[31] Al-Dhahabi (1382), Mizan al-‘I’tidal  fi Naqd al-Rijal, tahqiq ‘Ali Muhammad al-Bajawi, Bayrut: Dar al-Ma‘rifah j.1 h. 6

[32] Burhan al-Din al-Abnasi, al-Shaza al-Fayah min ‘Ulum Ibn al-Salah, tahqiq Salah Fathi Halal, Riyad: Maktabah al-Rushd,  j.1, h. 269.

[33] ‘Asim bin ‘Abd Allah al-Khalili al-Qaryuti, Dawabit Tarjamah Mustalahat ‘Ulum al-Sunnah wa al-Sirah al-Nabawiyyah Ma‘a Namazij Lima Warada Minha fi Kitab Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, h. 13.

[34] Ibid, h.14.

[35] Ibn Abi Hatim al-Razi (1371H), al-Jarh wa al-Ta‘dil, Haydrabad: Matba‘ah Majlis Da’irah al-Ma‘arif al-‘Uthmaniyyah  j.2 h. 37, Ibn al-Salah (1409) ‘Ulum al-Hadith dicetak bersama al-Taqyid wa al-‘Idah, Bayrut: Dar al-Hadith, h. 133-137. Lihat juga Al-Dhahabi (1382), Mizan al-I’tidal fi Naqd al-Rijal, tahqiq ‘Ali Muhammad al-Bajawi, Bayrut: Dar al-Ma‘rifah,  j.1, h. 4. Lihat juga al-Sakhawi (1403H), Fath al-Mughith Sharh Alfiyyah al-Hadith li al-‘Iraqi, Bayrut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah j.1, h. 361-376.

[36] ‘Asim bin ‘Abd Allah al-Khalili al-Qaryuti, Dawabit Tarjamah Mustalahat ‘Ulum al-Sunnah wa al-Sirah al-Nabawiyyah Ma‘a Namazij Lima Warada Minha fi Kitab Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, ibid 14.

[37]Muhammad bin ‘Isa bin Sawrah, Jami‘ al-Tirmidhi, Kitab al-Zuhd ‘an Rasulillah, Bab Ma Ja’a fi al-Mubadarah bi al-‘Amal, no. hadith 2228.

[38] Nama sebenar Imam al-Nawawi adalah Muhy al-Din Abu Zakariyya Yahya bin Sharf bin Marr bin Hasan Ibn Husayn bin Hazm bin Muhammad bin Juma‘ah al-Nawawi al-Shafi‘i. Dilahirkan padsa tahun 631H Hijrah di Nawa, Syria. Meninggal pada tahun 676 H dan dikebumikan di Nawa.

[39]Riyad al-Salihin merupakan salah satu karya Imam al-Nawawi yang terkenal.

[40]Ibid, h. 8.

[41]Ibid, h. 23.

[42]Ibid, h. 27.

[43]Ibid, h. 39.

[44]Ibid, h. 43.

[45]Ibid, h. 51.

[46]Ibid, h. 59.

[47]Ibid, h. 86.

[48]Ibid, h. 102.

[49]Ibid, h. 108.

[50]Ibid, h. 109.

[51]Ibid, h. 118.

[52]Ibid, h. 15.

[53]Ibid, h. 37.

[54]Ibid, h. 65.

[55]Ibid, h. 69.

[56]Ibid, h. 80.

[57]Ibid, h. 60.

[58]Ibid, h. 54.

 

[1] Citing or linking with a DOI link
A digital object identifier (DOI) can be used to cite and link to electronic documents.
A DOI is guaranteed never to change, so you can use it to link permanently to electronic documents.

To find a document using a DOI
1) Copy the DOI of the document you want to open. For example, 10.1016/j.bbr.2011.03.031.
2) Open the following DOI site in your browser: http://dx.doi.org
3) Enter the entire DOI in the text box provided, and then click Go.
4) To cite or create a link to a document using a DOI

The correct format for citing or creating a link to a document using its DOI is as follows:
http://dx.doi.org/10.1016/j.bbr.2011.03.031


Note : The DOI scheme is administered by the International DOI Foundation.
Many of the world's leading publishers have come together to build a DOI-based document linking scheme known as CrossRef.