Journal Al-BayanVolume 8

MANHAJ MAQASID AL-QUR’AN DALAM TAFSIR IMAM HASAN AL-BANNA

Haziyah binti Hussin

  

Permissions & Reprints
Abstract

The study aims to reveal the contribution of Hasan al-Banna who was the pioneer of the Islamic movement, in the Quranic exegesis. Therefore, his methodology in his tafsir work, namely “Maqasid al-Qur’an al-Karim” has been studied by using the method of document analysis. The main attribute of Maqasid method is meeting the objective of the Quranic revelation as ‘the book of guidance’. Banna, thus, emphasized on the simple method of exegesis writing, in spite of the significance of sirah of the Prophet (p.b.u.h.) and his companions, the causes of the revelation and the situation of the revelation in understanding the verses. He also tried to making the meaning of verses relevant to real-life situation, and derived lessons and general laws from the verses of the Qur’an. In order to help a reader in reflecting the verses as well as understanding the meaning, he highlighted main topics of the selected verses and the coherence between them which formed a sole objective for a surah. As conclusion, the method of maqasid was a manifestation of Banna’s life in the shade of the Qur’an, and his da‘wah experience. Therefore, he should be considered as the pioneer of the dynamic exegesis, which later becomes an established method for exegetes of the School of the Muslim Brothers.

Full Article

 

Pendahuluan

Wacana berkaitan tajdid dalam tafsir al-Qur’an lebih menfokuskan kepada aspek-aspek pembaharuan yang dibawa oleh Muhammad ‘Abduh (m.1905) dan pengaruhnya kepada tokoh-tokoh lain terutama Muhammad Rashid Rida (m.1935) sehingga terbentuk suatu gerakan dalam tafsir yang dikenali sebagai Madrasah Muhammad ‘Abduh atau Madrasah al-Manar. Gerakan ini seterusnya membentuk aliran-aliran tafsir yang baru seperti tafsir ijtimai, tafsir ‘ilmi, tafsir ‘aqli dan tafsir bayani. Pendedahan terhadap manhaj tokoh gerakan Islam dalam tafsir al-Qur’an pula lebih tertumpu kepada Sayyid Qutb (m.1966) dan kitab tafsirnya “Fi Zilal al-Qur’an” yang mewakili aliran tafsir adabi. Hakikatnya, tokoh-tokoh gerakan Islam seperti Hasan al-Banna (m.1949), Abu al-’A‘la al-Mawdudi (m.1979) dan Sayyid Qutb[1] mempunyai manhaj tafsir tersendiri, -meskipun kurang mendapat perhatian- yang membentuk satu aliran tafsir yang dikenali sebagai ‘Ittijah haraki’.[2]

Sehubungan itu, kajian ini akan menganalisis metodologi Imam Hasan al-Banna dalam tafsir al-Qur’an, yang dinamakan dengan manhaj “Maqasid al-Qur’an al-Karim”. Sebagai pengasas gerakan Islam yang terawal, iaitu Ikhwan al-Muslimin, semestinya manhaj beliau ini menjadi titik tolak kepada pembentukan manhaj tafsir haraki yang mewarnai karya-karya tafsir dan kajian-kajian al-Qur’an di kalangan anak-anak didik Madrasah al-Ikhwan. Selain itu, artikel ini turut mengenengahkan sejarah penglibatan al-Banna dalam pentafsiran, himpunan ayat-ayat dan surah-surah yang ditafsirkan, serta koleksi tafsir ini.

 

Pengenalan Imam Hasan al-Banna

Nama penuhnya ialah Hassan bin Ahmad bin ‘Abd al-Rahman al-Banna.[3] Beliau dilahirkan di Mahmudiyah, wilayah Buhayrah, Mesir pada 25 Sya’ban 1324H bersamaan 14 Oktober 1906 dalam sebuah keluarga yang kuat beragama. Ayahnya, Ahmad al-Banna (m. 1956) merupakan antara graduan al-Azhar di era Muhammad ‘Abduh, yang menfokuskan penyelidikan mereka terhadap karya-karya fiqh dan hadis. Beliau seorang yang zuhud dan ulama ilmu hadis yang produktif. Antara karya yang dihasilkan ialah “al-Fath al-Rabbani fi Tartib Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal” dan “Minhah al-Mabud fi Tartib Musnad al-Imam al-Syafi‘i wa al-Sunan”. Selain menjalankan perniagaan membaiki dan menjual jam serta penjilidan buku, beliau juga bertugas sebagai imam dan guru di masjid kampungnya, serta menjadi ahli Persatuan al-‘Urwah al-Wuthqa yang diasaskan oleh al-Afghani dan ‘Abduh.

Oleh itu, tidak hairanlah keilmuan si ayah ini mempengaruhi kehidupan al-Banna. Semenjak kecil lagi beliau mendapat pendidikan agama, malah menghafaz sebahagian al-Qur’an ketika berusia 8 tahun, dan menamatkannya ketika berusia 14 tahun. Pendidikan awal al-Banna bermula di Madrasah al-Rashad al-Diniyah dan kemudiannya di Madrasah al-Mu‘allimin al-Awwaliyyah (1920-1924). Suasana semasa di Mesir pada ketika itu yang menyaksikan masalah akhlak dan gejala sosial yang kronik mendorong beliau terlibat dalam kegiatan tasawuf dan dakwah. Seawal usia 12 tahun, beliau bergiat aktif dalam Jamiyyah al-Akhlak al-Adabiyyah, Jamiyyah Mani al-Muharramat, Jamiyyah al-Hasafah al-Khayriyyah dan Jamiyyah Makarim al-Akhlak al-Islamiyyah. Persatuan-persatuan ini sangat menitikberatkan pembentukan akhlak mulia dalam kalangan ahli, mengislah akhlak dan mencegah perkara-perkara mungkar dalam masyarakat serta melawan kegiatan misionari Inggeris.

Al-Banna menyambung pengajiannya di Dar al-‘Ulum, Kaherah pada usia 16 tahun. Beliau merupakan seorang pelajar pintar dan cemerlang, serta menghafaz banyak matan kitab nahw, fiqh, qira’at dan mantiq seperti al-Alfiyah Ibn Malik, Matn al-Silm, Matn al-Ghayah wa al-Taqrib li Abi Shujadan Matn al-Shatibiyyah. Semasa di Dar al-،Ulum, al-Banna melihat betapa bahayanya gelombang pemikiran ateis dan liberalisme yang menyeru ke arah kebebasan akal dan kebebasan individu, penentangan terhadap nilai-nilai tradisi dan penularan pemikiran material Barat serta kegiatan misionari di universiti-universiti. Sensitiviti beliau dibangkitkan lagi dengan beberapa peristiwa besar seperti Perjanjian Sykes Picot pada tahun 1916 yang menyaksikan wilayah Uthmaniyah dan Arab dibahagikan antara negara-negara Barat, ketetapan untuk menubuhkan negara Yahudi menerusi Perjanjian Balfor tahun 1917,[4] pembentukan negara Turki oleh Mustafa Kamal dan penamatan Khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924/26 Rejab 1324H, pemisahan negara dari agama (sekular) dalam kerajaan Turki dan penyebaran buku-buku yang mencetuskan kontroversi iaitu “al-Islam wa Usul al-Hukm” oleh ‘Ali ‘Abd al-Raziq pada Jun 1925 dan “al-Shir al-Jahili” oleh Taha Husayn, di samping penganjuran beberapa persidangan berkaitan khilafah yang diadakan di Mesir dan India.

Beliau merasakan bahawa masalah ini tidak dapat diatasi dengan perbincangan dalam kalangan ulama semata-mata, malah pengajian di masjid juga tidak memadai untuk menyampaikan ajaran Islam. Sehubungan itu, beliau membentuk kumpulan pendakwah muda yang terdiri dari kalangan mahasiswa al-Azhar dan Dar al-‘Ulum yang dilatih untuk berdakwah di masjid-masjid, kedai-kedai kopi dan tempat-tempat awam, yang bergerak di desa-desa dan bandar-bandar utama. Selain itu, al-Banna turut menggerakkan ulama Kaherah supaya bersikap responsif terhadap masalah umat Islam ketika itu. Akhirnya satu persetujuan dicapai bagi membentuk sutu jawatankuasa bertindak dan menerbitkan majalah al-Fath untuk menjawab propaganda golongan atheis dan liberalisme, seterusnya menubuhkan Jam‘iyyah Shubban al-Muslimin pada tahun 1927.

Setelah tamat pengajian di Dar al-‘Ulum pada tahun 1927, al-Banna memilih kerjaya sebagai guru. Beliau dihantar untuk bertugas di sebuah sekolah di Isma‘iliyah, iaitu sebuah bandar yang menjadi markaz tentera British dan sangat kuat menerima pengaruh Eropah. Pemilihan profesyen perguruan mempunyai signifikan dalam menjayakan idealisme dakwahnya untuk mengubah masyarakat dan membina generasi.[5] Oleh itu beliau kekal berkhidmat dalam profesyen ini selama 19 tahun sehingga bersara pada Mei 1946 kerana dilantik sebagai ketua pengarang kepada Akhbar Harian al-Ikhwan al-Muslimin.

Di Isma‘iliyah, al-Banna bersama rakan-rakannya menubuhkan Jama‘ah al-Ikhwan al-Muslimin pada bulan Zulkaedah 1346 bersamaan April/Mei 1928 dan diisytiharkan secara rasmi setahun kemudian. Penubuhan Gerakan Ikhwan bermatlamat untuk memandu masyarakat kepada Islam yang sebenar dan praktis, melakukan islah dan tajdid dalam semua lapangan hidup serta menyediakan tenaga kerja untuk Islam dan membentuk mujahid untuk berjihad di jalan Allah.[6] Dalam masa yang singkat iaitu kurang dari sepuluh tahun penubuhan, al-Banna berjaya menguasai massa dan meluaskan pengaruh Ikhwan ke seluruh pelusuk Mesir, kemudiannya ke negara-negara lain seperti Palestin, Syria, Lubnan, Iran, Tunisia, India, Pakistan, Afghanistan dan Indonesia. Ketika menyambut ulangtahun penubuhan kedua puluh, bilangan cawangan Ikhwan di Mesir mencecah dua ribu dan di dunia Islam lima puluh cawangan, dengan keanggotaan ahli bertaraf amilin dianggar setengah juta.[7] Kejayaan Ikhwan, khasnya al-Banna dalam gerakan dakwah menggugat kerajaan Mesir dan kuasa-kuasa Barat. Krisis Ikhwan dengan kerajaan yang memuncak dalam tahun 1948 menyaksikan ramai pemimpin dan pengikut Ikhwan ditangkap, dipenjara dan diseksa. Gerakan Ikhwan dibubarkan dan hartanya dirampas oleh pemerintah. Al-Banna pada mulanya dibiarkan bebas tetapi dikenakan beberapa tekanan untuk melemahkan psikologinya. Akhirnya beliau dibunuh pada 12 Februari 1949 dalam usia 42 tahun. Konspirasi pembubaran Ikhwan dan pembunuhan al-Banna ini didalangi oleh pemerintah Mesir, Zionist dan Kristian.

 

Al-Banna dan Tafsir al-Qur’an

Membaca dan mentafsirkan al-Qur’an merupakan salah satu aktiviti tarbiyah yang dijalankan oleh al-Banna untuk anggota gerakan Ikhwan semenjak awal penubuhan gerakan ini. Aktiviti ini sangat penting bagi proses tazkiyah jiwa dan pembentukan akal justeru al-Banna sentiasa menekankan kepentingan berinteraksi dengan al-Qur’an, mengupas dan menghuraikan kandungannya, mengajarkannya dan beriltizam dengan pengajarannya. Sehubungan itu, penglibatan al-Banna dalam tafsir al-Qur’an boleh disifatkan sebagai rentetan usaha dakwah beliau mendekatkan masyarakat Islam kepada al-Qur’an dan menyuntik kesedaran dalam jiwa mereka akan fungsi al-Qur’an sebagai kitab hidayah kepada seluruh sistem kehidupan, bukan semata-mata untuk dibaca dalam solat atau bacaan harian atau di perkuburan. Beliau juga menginsafkan mereka bahawa kehidupan mereka kini yang lemah, tertindas dan dikuasai penjajah disebabkan perbuatan mereka meninggalkan petunjuk al-Qur’an.[8]

Al-Banna tidak menghasilkan satu karya tafsir khas untuk membolehkan beliau dikenali sebagai seorang tokoh tafsir kontemporari sebagaimana tokoh-tokoh sezaman seperti Muhammad Rashid Rida, Tantawi Jawhari (m.1940) dan Ahmad Mustafa al-Maraghi. Tafsir beliau juga tidak banyak dan tidak mencakupi seluruh al-Qur’an menyebabkan sumbangan beliau dalam tafsir al-Qur’an kurang diketengahkan berbanding pemikirannya dalam bidang-bidang yang lain. Dr. ‘Imad ‘Abd al-Karim mengenalpasti tiga faktor yang mempengaruhi hal ini. Pertama, al-Banna lebih mengutamakan aspek tarbiyah dan amali, justeru beliau tidak berkelapangan untuk menghasilkan penulisan yang panjang dalam tafsir, dan ilmu-ilmu Islam yang lain, sebaliknya kebanyakan penulisan beliau berbentuk artikel akhbar, risalah, surat dan pidato.[9] Kedua, tulisan-tulisan al-Banna dalam tafsir tidak dikumpulkan dengan lengkap, sebaliknya bertaburan dalam pelbagai majalah dan akhbar. Ketiga, pemikiran al-Banna dalam aspek-aspek seperti politik, manhaj dakwah dan tarbiyah, penglibatannya dalam jihad dan dakwah serta manaqibnya lebih mendapat perhatian ramai pengkaji.[10]

Penglibatan al-Banna dalam tafsir secara langsung dapat diteliti melalui dua bentuk, iaitu tafsir lisan (kuliah) dan tafsir bertulis (artikel). Beliau mentafsirkan al-Qur’an sebagaimana metode tradisi dalam tafsir, iaitu mengemukakan ayat-ayat al-Qur’an dan mentafsirkannya mengikut manhaj yang digariskannya. Namun begitu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hampir keseluruhan ucapan, risalah dan tulisannya merupakan suatu bentuk tafsir yang dinamakan sebagai tafsir istishhadi kerana kupasan sesuatu tajuk bersandarkan kepada dalil-dalil al-Qur’an. Ciri ini menjadi keistimewaan dan daya tarikan ucapan al-Banna.[11] Kuliah tafsir al-Banna pula diadakan semasa perjumpaan mingguan Ikhwan yang diadakan pada setiap minggu pada hari Selasa, justeru dikenali sebagai “Hadith al-Thulatha”. Kuliah ini mula diadakan sebelum tahun 1939[12] dan menjadi salah satu metode untuk menyampaikan fikrah Ikhwan kepada lebih ramai masyarakat awam.[13] Beliau mentafsirkan ayat-ayat dan surah-surah pilihan dengan memberikan tajuk-tajuk tertentu. Artikel tafsirnya pula disiarkan dalam Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin, Majalah al-Nadhir[14], Majalah al-Nidal, Majalah al-Manar, Majalah Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin, dan Majalah al-Shihab dari tahun 1933 sehingga 1948.[15]

Dari segi kronologi, usaha awal al-Banna untuk menulis tafsir al-Qur’an dilaksanakan ketika bertugas sebagai editor bahagian agama dalam Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin. Dalam keluaran pertama pada 22 Jun 1933 dengan artikel pertamanya yang bertajuk: “Bagaimana saya akan menulis bahagian agama dalam majalah al-Ikhwan al-Muslimin”, al-Banna menjelaskan manhaj penulisannya dalam tafsir dan ilmu-ilmu syarak yang lain. Oleh kerana beliau mensasarkan tafsirnya kepada pembaca awam, maka beliau mentafsirkan ayat-ayat al-Qur’an secara ringkas. Manhaj ini selari dengan tujuan tafsir, pada pandangan al-Banna, yang bukan sekadar menjelaskan makna al-Qur’an, tetapi bermatlamat supaya pembaca boleh memahaminya dengan mudah dan terkesan dengan maksud ayat, serta mengetahui secara umum hukum-hukum dan pengajaran yang terdapat dalam ayat. Beliau berhasrat untuk mentafsirkan ayat dan surah berdasarkan urutan tema yang ‘dekat’ dengan masyarakat, bermula dengan ayat-ayat ta‘abud, iaitu ayat-ayat yang banyak dibaca dalam ibadat, dan ada hadis menjelaskan kelebihannya seperti surah al-Fatihah, al-Mu‘awwidhatayn, al-Kafirun, al-Kahf, al-Mulk, al-Waqi‘ah dan Yasin. Ini diikuti ayat-ayat berkaitan akidah dan kosmos (al-kawn), akhlak, hukum, qasas dan topik-topik lain.[16]

Manhaj yang digariskan ini menggambarkan betapa al-Banna menitikberatkan aspek praktikal dan realiti semasa dalam tafsirnya. Walau bagaimanapun, hasrat ini tidak terlaksana kerana beliau hanya mentafsirkan surah al-Fatihah. Beliau kemudiannya menyerahkan tugas sebagai kolumnis ini kepada Syeikh Mustafa al-Hadidi al-Tayr yang meneruskan tafsir mengikut manhaj yang digariskan oleh al-Banna.[17] Pada masa yang sama al-Banna masih meneruskan penulisan tafsir di akhbar tersebut, dengan tafsir ayat-ayat pilihan berdasarkan tajuk tertentu. Kebanyakannya berkisar tentang persoalan jihad, pembentukan peribadi muslim dan pembinaan umat yang kuat, dengan tujuan untuk membangkitkan kesedaran umat Islam berjihad dan menghalau penjajah dari tanahair mereka. Antara ayat-ayat dan surah-surah pilihannya ialah surah al-Hujurat, al-Mujadalah, al-Ahzab (ayat 6, 45-46), dan al-Baqarah (ayat 190-195, 214, 246-251). Pemilihan topik-topik ini dipengaruhi oleh faktor-faktor semasa seperti untuk menjelaskan pendirian Islam dalam berbagai-bagai isu antarabangsa dan mengekang aliran-aliran pemikiran moden, selain menumpukan usaha pembinaan dakwah Islamiyah yang masih di peringkat awal.[18] Jelasnya, al-Banna memilih untuk mentafsirkan ayat-ayat yang relevan dengan peristiwa dan keadaan umat Islam pada zamannya.

Setelah penerbitan akhbar ini terhenti pada Oktober 1936, al-Ikhwan al-Muslimin menerbitkan majalah al-Nidal pada Mei 1938. Di majalah ini, al-Banna mentafsirkan ayat-ayat dari surah al-Tawbah, bermula dengan ayat pertama hingga ayat keenam belas dengan tajuk “Sharaf al-Islam al-Duwali”, untuk mengingatkan umat Islam akan kemuliaan Islam dalam hubungan antarabangsa dengan musuh, serta membandingkannya dengan pendirian Itali dan Britain terhadap negara musuh mereka, iaitu Habsyah.[19] Majalah ini hanya diterbitkan lima kali sahaja dan tamat pada Julai 1938. Kemudian al-Banna menerbitkan tafsirnya dalam Majalah al-Nadhir dari keluaran 19 Jun 1939 sehingga 24 Julai 1939. Dalam ruangan “Ayat al-Usbu”, beliau mentafsirkan ayat-ayat pilihan dari surah Ali ‘Imran, iaitu ayat 5 hingga 8, 100 hingga 110 dan surah al-Nur, ayat 30 dan 31. Manakala dalam ruangan “Minhajuna min Kitabillah” beliau mentafsirkan ayat 1 hingga 3 dari surah al-Hashr.[20] Tafsirnya lebih ringkas berbanding dengan tafsir di Akhbar Ikhwan, al-Banna tidak mentafsirkan semua ayat, sebaliknya mengupas isu utama dalam petikan ayat tersebut.

Dalam tahun 1939, gerakan Ikhwan mendapat kepercayaan keluarga Muhammad Rashid Rida untuk menerbitkan semula Majalah al-Manar yang telah terhenti beberapa tahun selepas kematian Rida. Al-Banna pula ditugaskan sebagai ketua editor serta penulis kolum tafsir. Sebelum al-Banna, Syeikh Bahjah Baytar (m. 1396H) telah menyambung tugas ini dan menyelesaikan tafsir surah Yusuf. Oleh itu al-Banna memulakan tafsir al-Manar ini dengan surah al-Ra‘d mengikut manhaj pentafsiran Rida. Dalam mukadimah, beliau memberi ulasan kepada ungkapan yang menjadi syiar Tafsir al-Manar, iaitu “tafsir salafi, athari madani, asri, ijtimai, siyasi supaya dapat difahami oleh pembaca. Walau bagaimanapun, penerbitan majalah ini terhenti dengan perintah pemerintah tentera dalam September 1940 dan al-Banna hanya mentafsirkan tujuh ayat.[21]

Kegiatan penulisan tafsir al-Banna bagaikan terhenti dalam tempoh 5 tahun, antara tahun 1941 hingga 1946. Tidak ada sebarang terbitan tafsir yang direkodkan, sedangkan pada masa itu Akhbar Ikhwan dwi mingguan masih ada (1942-1946). Hanya terdapat satu artikel sahaja iaitu tafsir surah al-Baqarah (ayat 130-138) yang disiarkan pada 29 Ogos 1942.[22] Tidak dapat dipastikan dengan jelas sebab musababnya. Barangkali hal ini dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kesibukan beliau dengan dakwah amali, penglibatan Ikhwan dalam pilihanraya dan isu Palestin serta tekanan dari pemerintah.

Walau bagaimanapun, al-Banna aktif semula pada tahun 1947 dengan tafsiran surah al-Tawbah di Majalah al-Ikhwan al-Muslimin pada keluaran 6 September 1947. Pemilihan surah ini dipengaruhi oleh suasana semasa yang menyaksikan dakwah Islam khasnya gerakan Ikhwan di Mesir mendapat tekanan yang kuat dari musuh di luar dan dalam negara. Keadaan ini mengingatkan al-Banna tentang cabaran dan tentangan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. daripada orang-orang musyrik dan munafik, yang membawa kepada penurunan surah al-Tawbah. Justeru, beliau mentafsirkan surah ini dan mengaitkan secara langsung ayat-ayatnya dengan keadaan semasa yang dihadapi oleh gerakan Islam.[23] Pentafsiran ini diteruskan sehingga ayat 66 dalam keluaran majalah pada 20 Mac 1948.

Di akhir hayatnya, al-Banna lebih mengutamakan penulisan tafsir berbanding ilmu-ilmu lain, malah bertekad untuk menulis tafsir secara serius, dari awal hingga akhir al-Qur’an. Hasrat ini dilaksanakan menerusi penerbitan Majalah al-Shihab[24] pada 14 November 1947 sehingga Mac 1948, dalam kolum “al-Tafsir wa Ulum al-Qur’an”. Beliau mengemukakan mukadimah yang menjelaskan beberapa perkara berkaitan Usul al-Tafsir dan metodologi yang digunakan dalam pentafsiran, serta menamakan tafsir ini sebagai “Maqasid al-Qur’an al-Karim” selaras dengan objektifnya untuk mengetengahkan tujuan-tujuan penurunan al-Qur’an. Hasrat ini tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia pada 12 Februari 1949 dan sempat mentafsirkan surah al-Fatihah dan empat ayat terawal dari surah al-Baqarah.

 

Pembukuan Tafsir al-Banna

Kajian ini mendapati seawal tahun 1970 an, sudah ada usaha untuk mengumpulkan tafsir al-Banna. Dar al-Qur’an al-Karim di Kuwait telah menerbitkan tafsir al-Banna yang pernah disiarkan di Majalah al-Shihab pada tahun 1971 dalam sebuah buku kecil yang bertajuk “Muqaddimah fi al-Tafsir ma‘a Tafsir al-Fatihah wa Awa’il Surah al-Baqarah”.[25] Anak al-Banna, Ahmad Sayf al-Islam pula menelurusi tafsir ayahnya yang pernah diterbitkan di akhbar dan majalah. Beliau mengkompilasikannya dalam sebuah buku yang bertajuk “Maqasid al-Qur’an al-Karim”, sebagaimana tajuk yang diberikan oleh al-Banna, dan menyusun ayat-ayat dan surah berdasarkan tertib Mashaf. Beliau juga menyediakan lampiran daftar artikel tafsir yang mengandungi maklumat mengenai tajuk dan ayat tafsiran, terbitan (nama akhbar dan majalah), tahun, bilangan terbitan dan tarikh berdasarkan kronologi penerbitan, dari tahun tahun 1933 sehingga 1948. Buku ini diterbitkan pada tahun 2004 oleh Dar al-Wathiqah, di Kuwait.[26]

Usaha yang lebih giat dilakukan oleh Jumu‘ah Amin. Beliau mengumpulkan hampir keseluruhan karya al-Banna dari pelbagai terbitan dalam berbagai-bagai bidang, dan menerbitkannya secara bersiri dalam “Silsilah min Turath al-Imam al-Banna” pada tahun 2005 di Mesir. Beliau turut membuat tahqiq, penelitian dan pengesahan sumber serta ulasan ringkas terhadap tafsir dan manhaj al-Banna sebelum mengemukakan teks asal. Pada penilaian beliau, koleksi tafsir al-Banna terbahagi kepada dua kategori, iaitu:

  1. Tafsir Manhaji, iaitu pentafsiran yang bersandarkan metodologi yang jelas, sistematik dan mengikut urutan ayat, sama ada bermula dengan awal al-Qur’an atau dengan surah tertentu, huraian ayat secara terperinci serta berhasrat untuk mentafsirkan al-Qur’an sehingga akhir dengan manhaj yang sama. Kategori tafsir ini disiarkan dalam Majalah al-Manar dan Majalah al-Shihab.
  2. Manhaj al-Zilal wa al-Khawatir al-Qur’aniyyah. Tafsir ini merupakan cetusan idea al-Banna ketika membaca ayat-ayat al-Qur’an tertentu dan tindak balas beliau kepada sesuatu peristiwa yang berlaku atau keperluan tertentu. Oleh itu pentafsiran hanya melibatkan ayat-ayat dan surah-surah pilihan, tidak mengikut susunan. Bahkan metodologi pentafsirannya berbeza dari kategori pertama; tafsiran lebih ringkas dan padat, tidak banyak mengutarakan hukum dan pengajaran, menyatakan sepintas lalu riwayat ma’thur dan pendapat ulama. Bahagian inilah yang banyak disiarkan di akhbar dan majalah serta mewarnai ucapan dan kuliah al-Banna.

 

Warisan tafsir al-Banna ini dimuatkan dalam dua jilid. Jilid kedua Silsilah dikhaskan untuk tafsir manhaji yang pernah disiarkan di Majalah al-Manar dan al-Shihab, serta kuliah tafsir atau Hadith al-Thulatha yang disiar di Akhbar al-Ikhwan al-Muslimin sahaja, tidak termasuk catatan Hadith al-Thulatha oleh Ahmad ‘Isa ‘Ashur.[27] Jilid ini dinamakan sebagai ‘al-Tafsir’. Manakala kategori kedua iaitu manhaj khawatir yang dimuatkan dalam jilid ketiga Silsilah dengan tajuk ‘Khawatir min Wahy al-Qur’an’. Ia terdiri daripada artikel tafsir yang disiarkan di Akhbar Mingguan Ikhwan dalam tahun 1930 an dan 1940 an, Majalah al-Nidal serta Majalah al-Nadhir.

Selain itu, kuliah tafsir yang disampaikan oleh al-Banna juga telah mendapat perhatian. Pihak editorial Majalah Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin meringkaskan kuliah tafsir surah al-Baqarah, dari ayat 1 hingga 33 dan menyiarkannya secara bersiri dari 8 Mac 1947 sehingga 14 Jun 1947. Sebahagian kuliah ini juga disiarkan dalam al-Nadhir semasa hayat al-Banna. Koleksi Ustaz Ahmad ‘Isa ‘Ashur mungkin lebih lengkap. Beliau sangat mengkagumi keilmuan Imam al-Banna dan sentiasa mengikuti kuliah tafsir, malah telah mengambil inisiatif mencatat sebahagian besar tafsir ini dan menerbitkannya dalam Majalah al-Itisam pada tahun 1979[28] dengan tajuk “Nazarat fi al-Qur’an”. Kemudian beliau mengumpulkannya dalam sebuah buku yang bertajuk “Hadith al-Thulatha’”.[29]

Perhatian yang diberikan oleh pelbagai pihak ini menggambarkan penghargaan masyarakat kepada sumbangan al-Banna dalam tafsir al-Quran. Meskipun jumlah ayat dan surah yang ditafsirkan sedikit, namun manifestasi pemikiran, ilmu dan refleksi beliau terhadap al-Qur’an dapat dinilai dalam tafsir ini. Bahkan penelitian terhadap warisan ini menampakkan aliran dan manhaj al-Banna yang tersendiri dalam tafsir al-Qur’an, berbeza dari tokoh-tokoh sezamannya yang cenderung meneladani manhaj tafsir Muhammad ‘Abduh hampir secara total dalam tafsir mereka.

Berdasarkan kepada sumber-sumber yang dinyatakan sebelum ini, ayat-ayat yang ditafsirkan oleh al-Banna dapat ditunjukkan di dalam jadual di bawah:

 

Surah

Ayat

Medium

al-Fatihah

 

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

Majalah al-Shihab

Hadith al-Thulatha

al-Baqarah

1-4

Majalah al-Shihab

1-33

Hadith al-Thulatha

Majalah Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

34-43

Hadith al-Thulatha

Majalah al-‘i’tisam

151-157

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

190-195

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

214

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

246-251

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

257-258

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

Ali ‘Imran

5-8

Akhbar Mingguan al-Nadhir

100-110

Akhbar Mingguan al-Nadhir

200

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

al-Nisa’

65-68

Akhbar Mingguan al-Nadhir

al-Tawbah

1-66

Majalah Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

1-16

Majalah al-Nidal

38-40

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

111-112

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

al-Ra‘d

1-7

Majalah al-Manar

Hadith al-Thulatha

Al-Nur

30-31

Akhbar Mingguan al-Nadhir

Al-Ahzab

6

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

45-46

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

Al-Hashr[30]

1-3

Akhbar Mingguan al-Nadhir

Al-Hujurat

Semua

Hadith al-Thulatha

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

Al-Mujadalah

Semua

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

Al-Duha

Semua

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

Al-Sharh/al-Insyirah

Semua

Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin

 

Sumber Tafsir

Dalam mengukuhkan kefahaman dan tafsiran al-Qur’an, kajian ini mendapati al-Banna merujuk beberapa kitab-kitab tafsir sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau sendiri di celah-celah tafsir. Antaranya ialah al-Dur al-Manthur fi al-Tafsir bi al-Ma’thur oleh al-Suyuti, al-Jami‘ fi Ahkam al-Qur’an oleh al-Qurtubi, Tafsir al-Qur’an al-Hakim (al-Mannar) oleh Muhammad Rashid Rida, Zad al-Ma‘ad oleh Ibn al-Qayyim, al-Gharaib al-Qur’an fi Raghaib al-Furqan oleh al-Naysaburi dan Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil oleh al-Baydawi, serta tafsiran yang dibuat oleh Muhammad ‘Abduh terhadap beberapa surah.

 

Konsep Maqasid al-Qur’an dalam Tafsir

Maqasid al-Qur’an merujuk kepada matlamat penurunan al-Qur’an,[31] iaitu sebagai kitab hidayah dan nasihat kepada manusia, berkaitan pelbagai urusan hidup, bukan sebagai kitab mana-mana ilmu, sejarah atau kisah.[32] Al-Banna tidak memberikan definisi khusus kepada konsep ini, tetapi semasa menulis mukadimah Majalah al-Shihab beliau menekankan fungsi al-Qur’an untuk dibaca dan menerangi hati orang-orang mukmin, menjadi perlembagaan hidup dan sistem kepada masyarakat, seterusnya menggariskan jalan kebahagian di dunia dan akhirat.[33]

Untuk mencapai matlamat ini, al-Banna memilih ayat-ayat dan surah-surah yang mengutarakan cara berinteraksi dengan al-Qur’an sebagai perlembagaan, manhaj dan sistem hidup; asas-asas untuk mengembalikan al-Qur’an dan al-sunnah sebagai sumber ilmu dan perundangan dalam realiti hidup ummah; pandangan hidup al-Qur’an terhadap manusia, kehidupan dan kewujudan serta isu-isu individu, kekeluargaan, masyarakat, hubungan antarabangsa, sistem global,[34] pembinaan peribadi yang utuh, kepimpinan umat Islam, kefarduan jihad dan perang, serta pembinaan umat bagi mengembalikan kekuatan dan kemuliaan. Tema-tema ini sangat rapat dengan persekitaran umat Islam pada masa itu, yang jauh dari al-Qur’an dan ajaran Islam serta berhadapan dengan cabaran kemajuan Tamadun Barat.

Secara praktikal, al-Banna menggunakan istilah Maqasid al-Qur’an bagi merujuk kepada tema-tema penting yang menjadi objektif sesuatu surah dan kelompok ayat tertentu. Contohnya, ketika mentafsirkan surah al-Baqarah, beliau mengemukakan maqsad kepada surah ini berdasarkan kelompok ayat, iaitu mukadimah umum (ayat 1-39), aspek tatbiqiyyah yang terpapar dalam sejarah Bangsa Yahudi (ayat 40-124), perkara-perkara asas dalam syariat (ayat 151-176), hukum-hakam berkaitan individu (ayat 177-203), analisis pendirian manusia terhadap dakwah (ayat 204-218), penegasan terhadap sunnatullah berkaitan kemajuan bangsa (ayat 243-254), hukum-hakam berkaitan harta (ayat 261-283) dan akhir surah yang berkisar tentang penyerahan diri kepada Allah, Tuhan sekalian alam (ayat 284-286).[35]

Beliau berpendapat bahawa mengutarakan tema sebelum mentafsirkan ayat dan surah akan mempermudahkan pembaca memahami tafsiran. Ia juga menjadi kunci untuk pembaca merenung dan meneliti ketika membaca ayat-ayat, serta membantu untuk mengkaji dan menyelidik.[36] Kecenderungan al-Banna terhadap tema juga boleh diperhatikan pada uslub pentafsirannya. Contohnya tafsir surah al-Baqarah, pembaca akan menemui dua bentuk tafsir iaitu tafsir tahlili dan tafsir mawdui, seolah-olah dua manhaj dalam satu. Ini kerana ketika mentafsirkan konsep mendirikan solat dalam ayat 3 iaitu (tno4qn=¢Á9$# bqãK‹É)ãƒur), beliau membentangkan beberapa topik berkaitan solat iaitu solat di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, hukum meninggalkan solat, kefarduan solat, kesan solat pada aspek roh dan kemasyarakatan, kesempurnaan solat dan menangani was was. Beliau juga mengumpulkan ayat-ayat berkaitan jenis-jenis solat sama ada secara umum atau terperinci iaitu solat waktu perang, solat jumaat, qasar; hubungan taharah dan solat, hubungan solat dengan iman, zakat dan amal soleh, rahsia solat diungkapkan dengan perkataan “iqamah”.[37] Manhaj ini mewarnai tafsirnya terutama dalam hadith al-thulatha, kerana beliau meletakkan tajuk-tajuk tertentu seperti “Insan dalam al-Qur’an”, “Wanita dalam al-Qur’an” dan “Pembalasan dalam al-Qur’an”. Tajuk-tajuk ini merupakan maqsad kepada kelompok ayat yang ditafsirkan.

Berdasarkan kecenderungan ini, Dr. ‘Imad berpendapat bahawa al-Banna mendahului sarjana-sarjana lain dalam meletakkan garis panduan dan modus operandi kepada manhaj tafsir mawdui. Beliau bukan sekadar menggariskan tema-tema penting dalam surah bahkan melihat hubungan antara tema-tema ini sebagaimana boleh diperhatikan dalam tafsir surah al-Fatihah, al-Baqarah dan al-Hujurat. Pemikiran ini kemudiannya dinamakan dengan “kesatuan objektif dalam surah (wihdah mawduiyyah fi al-surah)”- meskipun al-Banna tidak menggunakan istilah ini, tetapi roh atau intipati konsep ini ada dalam tafsirnya- dan menjadi ikutan kepada tokoh-tokoh tafsir Ikhwan seperti Sayyid Qutb, Muhammad al-Ghazali dan Sa‘id Hawwa (m. 1989).[38]

 

Latarbelakang Manhaj

Berdasarkan kenyataan al-Banna dalam mukadimah Majalah al-Shihab, Jumu‘ah Amin merumuskan bahawa al-Banna mula mengenengahkan konsep maqasid al-Qur’an sebagai manhaj tafsir dalam kuliahnya dalam tahun 1940 an. Beliau mentafsirkan surah al-Fatihah dan al-Baqarah, dari ayat satu hingga empat puluh tiga dengan tajuk “Nazarat fi Kitabillah” atau “Nazarat fi Maqasid al-Qur’an al-Karim”, dan diikuti dengan tafsirnya dalam Majalah al-Shihab.[39] Namun begitu, kajian ini mendapati komitmen al-Banna terhadap manhaj ini tercetus lebih awal lagi, iaitu semenjak artikel tafsirnya yang pertama dalam Akhbar Mingguan Ikhwan pada tahun 1933, sebagaimana kenyataan beliau sendiri:

“Kami akan menyusun pilihan ayat-ayat mengikut susunan matlamat umum al-Qur’an (al-maqasid al-kulliyyah li al-Qur’an)....ayat-ayat taabud, akidah dan kosmos, akhlak, hukum, qasas dan lain-lain.”[40]

Pada asasnya, al-Banna akan mengetengahkan tema bagi kelompok ayat dan surah yang ditafsirkan iaitu menerusi tajuk artikel yang ditetapkan. Malah ketika mentafsirkan surah al-Ra‘d dalam al-Manar beliau mengetengahkan satu topik kecil iaitu “al-maqasid al-‘ammah fi al-surah” sebelum mentafsirkan ayat.[41] Al-Banna menggunakan sepenuhnya manhaj ini dalam pentafsiran dalam tahun 1940 an ketika mentafsirkan surah-surah al-Fatihah, al-Baqarah (ayat 1 hingga 43) dalam Hadith al-Thulatha dan Majalah al-Shihab. Bahkan tafsir surah al-Tawbah (ayat 1 hingga 66) juga berasaskan metode maqasid. Ini kerana pentafsiran surah ini dan penyiarannya dalam Majalah al-Ikhwan berlaku dalam tempoh yang sama dengan penerbitan Majalah al-Shihab, iaitu dari 6 September 1947 hingga 20 Mac 1948.[42]

Jelasnya, manhaj pentafsiran al-Banna dalam al-Shihab merupakan suatu usaha untuk mengasas dan membina secara konkrit manhaj yang diaplikasikan secara lisan dalam kuliah tafsir, justeru menamakannya dengan “maqasid al-Qur’an”. Seolah-olah beliau ingin menghidupkan kembali manhaj tafsir sendiri setelah beliau mengikut manhaj Rashid Rida ketika menulis tafsir di Majalah al-Manar.

 

Asas-asas Manhaj Maqasid al-Qur’an

Manhaj Maqasid al-Qur’an ini dinyatakan sendiri oleh al-Banna dalam artikel tafsirnya yang pertama di Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin dan Majalah al-Shihab. Asas-asas manhaj tersebut ialah:[43]

  1. Huraian perkataan dan ungkapan (mufradat lughawiyyah) secara umum. Biasanya al-Banna menjelaskan maksud sesuatu perkataan itu di awal huraian ayat.
  2. Huraian tafsir yang sederhana panjang dengan ungkapan dan gaya bahasa yang mudah, yang membolehkan semua lapisan masyarakat sama ada orang awam atau golongan intelek, dapat memahaminya tanpa memerlukan pengetahuan mendalam dalam ilmu-ilmu tertentu. Beliau menegaskan bahawa gaya penulisan tafsirnya yang ringkas dan mudah bertepatan dengan kehendak semasa. Ini kerana kemajuan dalam penulisan dan ilmu pengetahuan pada abad ini menumpukan aspek sistematika; susunan dan cara persembahan, serta uslub yang mudah. Dengan ini masyarakat mendapat manfaat dari karya tersebut secara maksimum.[44]

Beliau juga menggunakan pendekatan psikologi untuk menarik minat masyarakat kepada al-Qur’an. Gaya bahasa dalam tulisannya menggambarkan seolah-olah beliau berinteraksi secara langsung dengan pembaca seperti ungkapan: “adakah anda lihat bagaimana.., wahai saudara,” apatah lagi dalam kuliahnya. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya gaya penyampaian seperti ini memberi kesan kepada diri pendengar dan pembaca sebagaimana ulasan Ahmad ‘Isa ’Ashur.

“Hari ini –Selasa- menjadi saksi..mengumpulkan beribu-ribu orang dari seluruh pelusuk Kaherah, dari Iskandariah hingga Aswan, bahkan dari luar Mesir untuk mendengar (kuliah) Hasan al-Banna. Dia menaiki pentas dengan jubah dan serban putihnya, kemudian melontarkan pandangannya kepada hadirin sebelum berkata-kata.. suara yang mencerminkan kekuatan emosi dan keajaiban diksi (sihr al-bayan) yang sampai ke hati..suara yang bukan bergantung kepada pidato, bukan membangkitkan emosi dengan jeritan, tetapi bersandarkan hakikat, menyentuh perasaan dengan kepuasan akal, membakar ruh dengan makna, bukan dengan perkataan, dengan ketenangan bukan pemberontakan..sehingga sesiapa yang mendengar kuliah ini sekali tidak akan teragak-agak untuk menghadirinya lagi, tidak kira apa juga kesibukan dan halangan.”[45]

  1. Melakukan penelitian terhadap kejadian dan qasas yang disebut dalam al-Qur’an. Al-Banna tidak akan mengemukakannya kecuali mana-mana yang berkaitan langsung dengan ayat dan disokong oleh dalil. Semasa mengulas ayat 246 surah al-Baqarah, al-Banna mengetengahkan kisah Bani Israel yang besemangat untuk berjihad bagi membebaskan negara mereka dari musuh. Mereka meminta nabi mereka, dikatakan namanya ialah Samuel atau Syam’un untuk melantik panglima tentera. Namun, apabila mereka diperintahkan untuk berperang, ramai pula yang lari. Al-Banna tidak memperincikan kisah ini dan menamakan siapakah nabi tersebut, tetapi beliau menfokuskan kepada mesej ayat dan pengajaran dari kisah tersebut kerana itulah matlamat qasas al-Qur’an.[46]
  2. Menghubungkaitkan makna ayat dengan suasana kehidupan moden dari aspek ilmiah, politik dan akhlak, menjelaskan bagaimana al-Qur’an itu bersifat dinamik dan sesuai dengan waqi‘ (realiti). Contohnya ketika membicarakan isu jihad, al-Banna menarik perhatian pembaca kepada sebab-sebab jihad disyariatkan, perbezaan jihad dengan peperangan yang dilakukan oleh orang-orang Barat termasuk Tentera Salib dan Napoleon yang melancarkannya untuk kuasa dan menguasai sumber ekonomi. Perkara ini sangat relevan dengan keadaan Mesir dan negara-negara Islam yang lain yang berada di bawah penjajahan Barat.[47]
  3. Menjelaskan sebab penurunan sesuatu ayat dan hubungan antara sebab dan ayat tersebut serta mengemukakan situasi yang melatari penurunan surah (jaww al-nuzul). Al-Banna menegaskan bahawa sabab al-nuzul tidak membataskan makna ayat, bahkan kepelbagaian riwayat bukanlah percanggahan. Sebaliknya, beliau menerima kesemua riwayat dan cuba mencari titik pertemuan antara riwayat-riwayat di samping menyatukan makna. Contohnya ketika mentafsirkan ayat 214 surah al-Baqarah, al-Banna membentangkan tiga pendapat berkenaan sabab al-nuzul ayat sama ada ia diturunkan semasa Perang Khandak, atau Perang Uhud atau selepas peristiwa hijrah ke Madinah. Beliau kemudiannya mengulas:

“Tidak kira apa juga sebab penurunan, ayat ini menegaskan salah satu sunnatullah dalam kehidupan umat. Setiap umat akan berada dalam dua peringkat ini apabila memenuhi sebab dan faktornya, tidak ada peringkat yang ketiga. Dua peringkat ini ialah peringkat kuat dan peringkat lemah...”.[48]

  1. Mengemukakan hadis-hadis yang menjelaskan maksud ayat dan kesan ayat tersebut kepada generasi sahabat. Al-Banna mengemukakan riwayat dari sirah nabawiyyah dan para sahabat yang memberi gambaran bagaimana keadaan yang telah dilalui oleh mereka dalam berdakwah dan tindakbalas mereka terhadap ayat-ayat al-Qur’an. Ketika mentafsirkan ayat-ayat awal dari surah al-Hujurat, al-Banna membentangkan beberapa riwayat yang menggambarkan betapa ayat-ayat ini memberi kesan kepada diri para sahabat r.a. dan cara interaksi mereka dengan Rasulullah s.a.w.[49]
  2. Mengeluarkan pengajaran, nasihat dan hukum-hukum fiqh yang terdapat dalam ayat. Biasanya al-Banna memuatkan pengajaran ini sebagai kesimpulan kepada tafsiran atau di bawah tajuk khas. Dalam istinbat hukum fiqh, beliau tidak memestikan dirinya dan orang lain berpegang dengan mazhab fiqh tertentu, meskipun beliau cenderung kepada Mazhab Syafie, dan dalam masa yang sama banyak mengkaji Mazhab Hanafi. Sebaliknya beliau sentiasa meletakkan maslahah sebagai keutamaan dan berusaha menyatukan pelbagai pandangan.[50] Contohnya, ketika mentafsirkan ayat 60 surah al-Tawbah, al-Banna mendefinisikan semula golongan fakir dan miskin sebagai jalan keluar kepada perselisihan ulama, serta menyatukan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang menjelaskan makna kedua-dua istilah ini.[51]
  3. Bersikap hati-hati dan teliti dalam isu khilaf, sebaliknya berusaha menutup ruang perdebatan dan takwil, serta tidak taksub kepada mana-mana pendapat, sama ada dalam isu-isi fiqh atau akidah. Ketika al-Banna mentafsirkan ayat 7 surah Ali Imran berkaitan muhkam dan mutashabihat, beliau menjelaskan maksud kedua-dua istilah ini dan pendirian yang perlu diambil sambil mengingatkan pembaca sebagaimana berikut:

“Ayat-ayat Allah tentang istiwa, tangan, mata dan lain-lain semuanya adalah mutashabih. Perselisihan dan perbalahan banyak tercetus di kalangan masyarakat dalam isu ini. Oleh itu, berhati-hatilah dari terlibat dan terjebak dengan perselisihan ini. Persoalan ini lebih besar mengatasi kemampuan akal dan pemikiran manusia. Jangan sesekali cuba menyamakan atau menafikan, sebaliknya katakanlah, kami beriman dengannya sebagaimana dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya”.[52]

  1. Mengemukakan sepintas lalu perbahasan berkaitan bahasa dan usul selepas tafsir, untuk membolehkan golongan intelek mendapat perbincangan yang sempurna dan penelitian yang meluas.
  2. Memberi peringatan tentang kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian pentafsir terdahulu serta menolak tuduhan dan keraguan terhadap nas. Ketika mentafsirkan ayat 170, surah al-A‘raf, al-Banna menjawab beberapa keraguan yang disebarkan oleh golongan atheis terhadap al-Qur’an iaitu mukjizat terbelah Laut Merah kepada Nabi Musa a.s. dan maksud ‘wadi al-naml’ dalam kisah Nabi Sulaiman a.s. selain turut mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dengan fitnah ini, serta berpegang teguh dengan al-Qur’an dan sunnah Rasulullah s.a.w.[53]

Al-Banna berpendapat bahawa kesilapan ini berpunca daripada sikap sesetengah pentafsir yang ghairah untuk mendepani kemajuan Tamadun Barat dan meraikan perubahan semasa. Mereka juga terpengaruh dengan nilai-nilai pemikiran Barat sehingga meletakkan akal dan rasional sebagai instrumen mutlak untuk memahami nas al-Qur’an. Sesetengahnya pula tidak memiliki asas yang kukuh dalam ilmu-ilmu syarak, bahasa, agama dan kesusasteraan yang membantunya memahami nas dengan betul, mengetahui matlamat nas dan mengungkapkan makna dengan jelas dan tepat. Antara kesilapan ini ialah menganggap al-Qur’an sebagai sumber sejarah semata-mata, menafikan mukjizat, menerokai ayat-ayat berkenaan alam semesta dan kejadian makhluk dari perspektif sains moden, malah mentakwilkan al-Qur’an selari dengan teori-teori ilmiah, serta menolak hakikat perkara-perkara sam‘iyyat dan sifat-sifat Allah s.w.t.[54]

Penelitian terhadap sepuluh asas manhaj maqasid al-Qur’an ini membuktikan bahawa konsep ini tidak hanya terbatas kepada penekanan terhadap objektif surah dan tema-tema yang terdapat dalam ayat-ayat. Sebaliknya, ia merangkumi aspek sistematika, gaya dan bahasa penulisan yang ringkas, padat dan mudah, tanpa istilah-istilah tertentu, kerana aspek-aspek ini merupakan faktor penyumbang kepada seseorang pembaca memahami al-Quran serta mendapat hidayahnya, sekaligus mencapai tujuan atau maqsad penurunan al-Qur’an.

 

Hubungan al-Banna dengan Madrasah Muhammad Abduh

Tidak dapat dinafikan bahawa manhaj tafsir al-Banna ini berkesinambungan dengan pemikiran dan idealisme Madrasah Muhammad ‘Abduh. Meskipun al-Banna tidak berkesempatan bertemu dengan ‘Abduh, namun pengaruh pemikiran islah ‘Abduh menempias dirinya sejak awal lagi melalui ayahnya yang merupakan penuntut al-Azhar di zaman ‘Abduh dan ahli persatuan al-‘Urwah al-Wuthqa. Semasa di universiti, beliau juga mengkagumi murid-murid ‘Abduh seperti Farid Wajdi dan Ahmad Taymur, bahkan mempunyai hubungan rapat dengan Muhammad Mustafa al-Maraghi (m.1945)[55] dan Muhib al-Din al-Khatib. Beliau turut menjadikan dua buah buku ‘Abduh iaitu “Risalah al-Tawhid” dan “al-Islam wa al-Nasraniyyah Bayna al-‘Ilm wa Madaniyyah” sebagai teks pengajian bagi anggota gerakan Ikhwan.[56]

Selain itu, al-Banna juga mengikuti kelas pengajian Muhammad Rashid Rida dan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Rida. Keakraban ini menjadi faktor beliau mendapat kepercayaan untuk menyambung Tafsir al-Manar[57] dan dikatakan Rida beriya-iya untuk menyertai gerakan al-Ikhwan al-Muslimin di akhir hayatnya. Justeru itu, Rif‘at Sa‘id berpendapat al-Banna lebih terkesan dengan pemikiran Rida berbanding ‘Abduh. Ini kerana Rida menjauhi pemikiran tajdid ‘Abduh sedikit demi sedikit sehingga membina pemikiran sendiri yang berorientasikan manhaj salaf. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa dakwah al-Banna adalah lanjutan kepada aliran salaf di kalangan murid-murid Muhammad ‘Abduh yang dipelopori oleh Rida.[58]

Hubungan antara al-Banna dengan reformis-reformis terdahulu sangat jelas di mata Gerakan al-Ikhwan al-Muslimin yang membentuk satu rantaian tajdid. Al-Afghani disifatkan sebagai penyeru reformasi dan pemberi ingatan setelah melihat permasalahan yang berlaku, Muhammad ‘Abduh sebagai pemikir yang memahami isu, Rida sebagai pencatat perbincangan dan sejarawan, manakala al-Banna sebagai pembina kebangkitan, pemimpin generasi dan pengasas ummah. Namun, tokoh-tokoh terdahulu bertindak sebagai reformis agama dan akhlak sahaja, kerana mereka tidak ada pandangan Islam yang menyeluruh.[59] Sebaliknya al-Banna menyatukan kaedah islah al-Afghani melalui politik dan ‘Abduh melalui tarbiyah serta memperjuangkan Islam secara komprehensif, mencakupi aspek akidah, ibadah, syariah, tarbiyah (akhlak, intelek dan jasmani), jihad, politik, sosial dan ekonomi.[60] Ia melewati batas dunia pendidikan dan pengajaran yang menjadi teras gerakan islah ‘Abduh dan Rida. Beliau menyampaikan mesej kesyumulan Islam ini kepada semua lapisan masyarakat, tanpa membataskan kepada golongan intelektual sahaja[61] dan merealisasikan mesej ini di lapangan melalui sebuah gerakan dakwah yang tanzim haraki, iaitu Ikhwan al-Muslimin.

Kewujudan beberapa persamaan dalam manhaj pentafsiran antara al-Banna dan Madrasah Muhammad ‘Abduh dapat memperkukuhkan hubungan ini. Antaranya ialah penekanan kepada mesej al-Qur’an sebagai kitab hidayah, kepentingan sirah dalam memahami nas, kesatuan tema dalam sesebuah surah, kerelevanan al-Qur’an dengan realiti kehidupan, gaya bahasa pentafsiran yang mudah serta menjauhi unsur-unsur Isra’iliyyat dan perkara-perkara yang dianggap sebagai penghalang daripada hidayah al-Qur’an.

Secara umumnya, al-Banna hanya terpengaruh dengan idea islah Madrasah ‘Abduh dan perjuangan mereka dalam mempertahankan Islam serta seruan ke arah kesatuan Islam sebagai satu cara untuk mendapatkan kekuatan dan bebas dari penjajah.[62] Perkara sebegini adalah lumrah kerana seseorang itu sudah pasti terkesan dengan suasana semasa dan arus kehidupan di persekitarannya. Walau bagaimanapun beliau tidak menerima manhaj tafsir madrasah ini secara total. Sebaliknya, beliau meletakkan pendirian yang jelas dan kukuh supaya tidak terjerumus dalam kesilapan ‘Abduh dan pengikut-pengikutnya yang mengutamakan akal dalam tafsir sehingga menolak hadith Ahad dalam perkara-perkara akidah khususnya samiyyat, mentakwil perkara-perkara mubhamat dengan sains dan mengenepikan sabab al-Nuzul dalam memahami nas. Kesilapan-kesilapan ini telah mengundang kontroversi sehingga madrasah ini disifatkan oleh sebahagian penyelidik sebagai madrasah yang berasaskan rasional atau manhaj yang menselarikan Islam dengan tamadun Barat,[63] meskipun sebahagian yang lain menjadikan tuntutan zaman dan cabaran Tamadun Barat sebagai justifikasi kepada kecenderungan ini.[64] Dalam isu ini, pandangan Muhammad al-Ghazali wajar diberi perhatian. Beliau mengakui beberapa kesilapan manhaj tafsir ‘Abduh, namun mempertikaikan sesetengah tuduhan ke atas peribadinya. Sebaliknya beliau mahu masyarakat menghormati orang-orang terdahulu serta melihat nilai ilmiah dan sumbangannya yang lebih besar kepada pemikiran Islam berbanding kelemahan yang mungkin disebabkan keadaan tertentu.[65] Kelemahan lumrah terjadi kepada perintis perubahan dan barangkali juga ada sebab musababnya yang hanya difahami oleh mereka yang berada di zaman tersebut. Oleh itu, adalah lebih wajar untuk menerima kebaikan yang ada dan tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.

 

Kesimpulan

Manhaj maqasid al-Qur’an yang diaplikasi oleh al-Banna dalam tafsirnya mempunyai beberapa keistimewaan terutama hubungan manhaj ini dengan kemunculan Tafsir Haraki. Nama tafsir dan manhaj sebagai ‘Maqasid al-Qur’an’ menggambarkan fokus al-Banna kepada tujuan-tujuan penurunan al-Qur’an sebagai kitab hidayah kepada manusia, untuk membina peribadi muslim dan masyarakat yang menghayati al-Qur’an serta membentuk negara Islam berlandaskan tuntutan Islam. Tafsir ini merupakan manifestasi kefahaman dan penghayatan al-Banna terhadap al-Qur’an secara praktikal (tafsir maydani), yang dihasilkan bersama dengan garapan ilmu dan pengalaman dakwah lebih 20 tahun, bukannya tafsir yang bersifat akademik dan teoritikal. Beliau adalah seorang “mufassir haraki”, justeru adalah wajar untuk meletakkan beliau sebagai perintis manhaj tafsir haraki. Pemikiran ini kemudiannya dibina dengan kukuh oleh Sayyid Qutb sehingga dikenali sebagai manhaj haraki dan menjadi teras kepada pendekatan Madrasah Ikhwan al-Muslimin.



* Pensyarah di Jabatan Pengajian al-Qur’an dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

[1] Kajian utama berkenaan manhaj haraki dalam tafsir Sayyid Qutb dilakukan oleh Dr. Salah al-Khalidi dalam tesis doktor falsafahnya, iaitu “Fi Zilal al-Qur’an: Dirasah wa Taqwim” dan diterbitkan dalam tiga jilid, Jilid kedua mengkhususkan manhaj haraki dalam tafsir tersebut. Sila lihat al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, (2000), al-Manhaj al-Haraki fi Zilal al-Qur’an, Amman: Dar ‘Ammar.

[2]Ittijah haraki’ ialah aliran tafsir yang menfokuskan kepada aspek dakwah dan gerakan, tarbiyah dan tazkiyah, jihad dan perjuangan, seruan orang-orang Islam supaya melaksanakan al-Qur’an, dan melawan orang-orang kafir berasaskan ajaran al-Qur’an serta mengemukakan pengajaran di dalam berdakwah dan berjihad. Lihat al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, (2002), Ta‘rif al-Darisin bi Manahij al-Mufassirin, Damsyik: Dar al-Qalam, h. 568.

[3] Biografi terperinci Imam al-Banna boleh dirujuk dalam buku-buku seperti: al-Banna, Hasan, (1974), Mudhakkirat al-Da‘wah wa al-Da‘iyah, cet. 3, Damsyik: al-Maktab al-Islami; Anwar al-Jindi, (2000), Hasan al-Banna, Damsyik” Dar al-Qalam; ‘Umar al-Tilimsani, (1984), al-Mulhim al-Mawhub Hasan al-Banna Ustadh al-Jil, Mesir: Dar al-Nasr li al-Tiba‘ah al-Islamiyah; Rif‘at al-Sa‘id, (1986), Hasan al-Banna Mu’assis Harakah al-Ikhwan al-Muslimin, Beirut: Dar al-Tali’ah li al-Tiba‘ah wa al-Nashr; Ziyad Ahmad Salamah, (2001), al-Shaykh Hasan al-Banna Sirah Fikriyyah, Amman: Dar al-Bayariq.

[4] Carl Brocklemann, (1964), History of the Islamic People, London: Routledge & Kegan. h. 482.

[5] Al-Qaradawi, Yusuf, (1992), al-Tarbiyah al-Islamiyah wa Madrasah Hasan al-Banna, ‘Abidin: Maktabah Wahbah, cet. 3, h. 4, 7.

[6] ‘Abd al-Halim Mahmud, (1994), Rukn al-‘Amal aw Manhaj al-Islah al-Islami li al-Fard wa al-Mujtama‘, Kaherah: Dar al-Tawzi‘ wa al-Nashr al-Islamiyyah, h. 8.

[7] ‘Abbas al-Sisi, (2001), Hasan al-Banna Mawaqif fi al-Da‘wah wa al-Tarbiyah, Kaherah: Dar al-Tawzi‘ wa al-Nashr al-Islamiyyah, h. 261.

[8] Sebagai contoh lihat ucapan al-Banna semasa melawat Iskandariah sempena sambutan Mawlid al-Rasul pada tahun 1937 dalam ‘Abbas al-Sisi, ibid., h. 61-63.

[9] Ziyad Ahmad Salamah, op.cit., h. 217.

[10] ‘Abd al-Karim, ‘Imad Mahmud, (2004), al-Imam Hasan al-Banna wa Manhajuh fi Tafsir al-Qur’an al-Karim, Kaherah: Dar al-Tawzi‘, h. 6-7.

[11] Lihat ‘Abbas al-Sisi, (2001), op.cit., h. 22.

[12] ‘Uthman ‘Abd al-Mu‘iz Rasalan, (1990), al-Tarbiyah al-Siyasiyyah ‘inda Jama‘ah al-Ikhwan al-Muslimin, Kaherah: Dar al-Tawzi‘ wa al-Nashr, h. 145; Rif‘at Sa‘id, (1986), Hasan al-Banna Mu’assis Harakah al-Ikhwan al-Muslimin, Beirut: Dar al-Tali’ah li al-Tiba‘ah wa al-Nashr, cet. 4, p. 82; al-Banna, Mudhakkirat al-Da‘wah wa al-Da‘iyah, h. 258.

[13] ‘Abd al-‘Aziz, Jumu‘ah Amin, (2005), Silsilah min Turath al-Imam al-Banna (al-Tafsir), Iskandariah: Dar al-Da‘wah, h. 141.

[14] Al-Nadhir diterbitkan pada 29 Rabiul Awwal 1357H/ 29 Mei 1938. Ia merupakan majalah mingguan yang bersifat politik, bertujuan untuk mengetengahkan wacana pemikiran dan idealisme gerakan al-Ikhwan al-Muslimin serta halatuju Ikhwan dalam politik tempatan dan luar selepas sepuluh tahun penubuhan. Lihat al-Banna, Mudhakkirat, h 140-141; Ziyad Ahmad Salamah, op.cit., h. 121.

[15] ‘Imad Mahmud, op.cit., h. 47; Jumu‘ah Amin, Ibid., h. 51, 142; Lihat juga Daftar Kronologi Tafsir dalam Hasan al-Banna, (2004), Maqasid al-Qur’an al-Karim, (ed. Ahmad Sayf al-Islam), Kuwait: Dar al-Wathiqah, h. 449-455.

[16] Akhbar Mingguan Ikhwan, Bil. 1 dalam Jumu‘ah Amin, op.cit., h. 28.

[17] ‘Imad Mahmud, op.cit., h. 50; Jumu‘ah Amin, ibid., h. 49-50.

[18] Mukadimah dalam al-Banna, Maqasid al-Qur’an al-Karim, h. 13.

[19] Ibid., h. 14, 248-249.

[20] ‘Imad Mahmud, op.cit., h. 51-52; ‘Abd al-‘Aziz, Jumu‘ah Amin, (2005), Silsilah min Turath al-Imam al-Banna (Khawatir min Wahy al-Qur’an), Iskandariah: Dar al-Da‘wah, h. 221-224.

[21] ‘Imad Mahmud, op.cit., h 54; Jumu‘ah Amin, Silsilah min Turath al-Banna (al-Tafsir), h. 59-60; al-Banna, Maqasid al-Qur’an, h. 15-17.

[22] Jumu‘ah Amin, Silsilah min Turath al-Imam al-Banna (Khawatir min Wahy al-Qur’an), h. 239-241.

[23] Majalah al-Ikhwan mula diterbitkan oleh al-Ikhwan al-Muslimin pada 17 Syaaban 1361H/ 29 Ogos 1942 secara dwi mingguan, kemudian bertukar kepada mingguan. Al-Banna mentafsirkan surah al-Tawbah dalam majalah ini pada tahun kelima, dalam bilangan 35. Lihat al-Banna, Maqasid al-Qur’an, h. 17-18.

[24] Penerbitan majalah bulanan al-Shihab bertujuan untuk memenuhi keperluan ahli Ikhwan kepada ketajaman pemikiran dan amali. Aspek ini kurang diberi perhatian oleh Ikhwan dan al-Banna disebabkan beberapa faktor semasa menyebabkan kemampuan ilmiah dan pemikiran Ikhwan lambat matang, sehingga penghujung 1940 an dan awal 1950 an. Majalah ini juga bertujuan menjelaskan aspek-aspek agama Islam dan maqsadnya kepada masyarakat umum. Oleh itu, sebahagian besar bahan penerbitan disediakan oleh al-Banna sendiri. Lihat al-Qaradawi, op.cit., h. 30.

[25] Al-Banna, Hasan, (1971), Muqaddimah fi al-Tafsir ma‘a Tafsir al-Fatihah wa Awa’il Surah al-Baqarah, Kuwait: Dar al-Qur’an al-Karim.

[26] Lihat kata pengantar oleh Sayf al-Islam dalam Hasan al-Banna, Maqasid al-Qur’an, h. 11.

[27] Lihat Jumu‘ah Amin, Silsilah min Turath al-Banna (al-Tafsir), h. 48-50.

[28] Ziyad Ahmad Salamah, op.cit., h. 220.

[29] Al-Banna, (1985), Hadith al-Thulatha’,(catatan Ahmad ‘Isa ‘Ashur), Kaherah: Dar al-Qur’an.

[30] Teks tafsir surah al-Hashr hanya dimuatkan dalam Jumu‘ah Amin, Silsilah min Turath al-Imam al-Banna (Khawatir min Wahy al-Qur’an).

[31] Matlamat penurunan al-Qur’an ini dirumuskan oleh sarjana dengan empat perkara yang menjadi salah satu ciri tafsir haraki, iaitu menunjuk manusia ke jalan yang membawa kebaikan serta memberi amaran jalan-jalan yang mendatangkan kesengsaraan hidup di dunia dan akhirat; tarbiyah yang seimbang dan pembentukan peribadi muslim yang menghayati dan mengamalkan al-Qur’an; pembentukan masyarakat Islam yang mithali; memimpin umat dalam menghadapi jahiliyyah sehingga tertegaknya negara Islam. Lihat Adnan Muhammad Zarzur, (1998), Madkhal ila Tafsir al-Qur’an wa ‘Ulumuh, cet. 2, Damsyik: Dar al-Qalam, h. 250, 259; Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, (2000), Madkhal ila Zilal al-Qur’an, cet. 2, Amman: Dar Ammar, h. 95-96.

[32] Penekanan kepada al-Quran sebagai kitab hidayah merupakan ciri utama manhaj tafsir Muhammad ‘Abduh dan tafsir-tafsir zaman moden, kerana beberapa kurun sebelum itu al-Qur’an dianggap sebagai wasilah untuk ibadat dalam konteks kerohanian sahaja. Lihat Muhammad Ibrahim Sharif, (1982), Ittijahat al-Tajdid fi Tafsir al-Qur’an al-Karim fi Misr, Kaherah: Dar al-Turath, h. 310-312.

[33] Mukadimah tafsir dalam Majalah al-Shihab. Lihat al-Banna, Maqasid al-Qur’an, h. 27-28.

[34] Kata pengantar Mursyidul Am Ikhwan al-Muslimin, Ustaz Muhammad Mahdi ‘Akif dalam Jumu‘ah Amin, Silsilah min Turath al-Banna (al-Tafsir), h. 7.

[35] al-Banna, Maqasid al-Qur’an, h. 78-81.

[36] Ibid., h. 78.

[37] Ibid., h. 94-101.

[38] ‘Imad Mahmud, op.cit., h. 160-162; 175-180.

[39] Jumu‘ah Amin, Silsilah min Turath al-Banna (al-Tafsir), h. 141.

[40] Akhbar Mingguan al-Ikhwan al-Muslimin, bilangan pertama pada 15 Jun 1933. Lihat Jumu‘ah Amin, ibid., h. 28.

[41] Al-Banna, Maqasid al-Qur’an al-Karim, h. 273.

[42] Lihat kronologi tafsir dalam al-Banna, ibid., h. 453-455.

[43] Lihat Jumu‘ah Amin, Silsilah min Turath al-Banna (al-Tafsir), h. 27-28.

[44] Ibid., h. 45-47.

[45] Al-Banna, Hadith al-Thulatha’, h. 5.

[46] Al-Banna, Maqasid al-Qur’an, h. 135-137.

[47] Al-Baqarah: 190. Ibid., h. 124-125.

[48] Ibid., h. 132.

[49] Ibid., h. 369-370.

[50] Ghanim, Ibrahim al-Bayumi, (1992), al-Fikr al-Siyasi li al-Imam Hasan al-Banna, Kaherah: Dar al-Tawzi‘ wa al-Nashr al-Islami, h. 140.

[51] Al-Banna, Maqasid al-Qur’an, h. 235-236.

[52] Ibid., h. 148-149.

[53] Jumu‘ah Amin, (2005), Silsilah min Turath al-Imam al-Banna (Khawatir min Wahy al-Qur’an), h. 45-51.

[54] Ibid., h. 32-41; Al-Banna, Muqadimah fi al-Tafsir, h. 13-26.

[55] Richard Mitchell, (1969), The Society of the Muslim Brothers, New York: Oxford University Press, h. 322.

[56] Muhammad ‘Amarah, (1992), al-Shaykh Muhammad al-Ghazali al-Mawqi‘ al-Fikri wa al-Maarik al-Fikriyyah, Kaherah: Hay’ah Misriyah, h. 40.

[57] al-Banna, 1974, Mudhakkirat al-Dawah wa al-Da‘iyah, h. 51, 253-254.

[58] Rif‘at Sa‘id, op.cit., h. 44-45.

[59] Ibid., h. 44; Richard Mitchell, op. cit., h. 321.

[60] Fathi Yakan, (1998), Manhajiyyat al-Shahid Hasan al-Banna wa Madaris al-Ikhwan al-Muslimin, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, h. 10, 31.

[61] ‘Imad Mahmud, op.cit., h. 57.

[62] Ghanim, Ibrahim al-Bayumi, op.cit., h. 164; Ziyad Ahmad Salamah, op.cit., h. 82

[63] Muhammad Husayn al-Dhahabi, (1995), al-Tafsir wa al-Mufassirun, Kaherah: Maktabah Wahbah, cet. 6, j.2, h. 590; al-Muhtasib, ‘Abd Majid ‘Abd al-Salam, (1982), Ittijahat al-Tafsir fi al-‘Asr al-Rahin, Amman, Maktabah al-Nahdah al-Islamiyah, h. 101-243; al-Rumi, Fahd bin ‘Abd al-Rahman, (1422H), Manhaj al-Madrasah al-‘Aqliyyah al-Hadithah fi al-Tafsir, Riyad: Maktabah al-Rashid, cet. 5.

[64] Adnan Mohamed Yusof, Muhammad Abduh Tokoh Pembaharuan Ilmu Tafsir, Tesis Ph.D. 2006 UKM, h. 366.

[65] Muhammad al-Ghazali, (1991),‘Ilal wa Adwiyah, Iskandariyah: Dar al-Da‘wah, h. 83-109.

 

[1] Citing or linking with a DOI link
A digital object identifier (DOI) can be used to cite and link to electronic documents.
A DOI is guaranteed never to change, so you can use it to link permanently to electronic documents.

To find a document using a DOI
1) Copy the DOI of the document you want to open. For example, 10.1016/j.bbr.2011.03.031.
2) Open the following DOI site in your browser: http://dx.doi.org
3) Enter the entire DOI in the text box provided, and then click Go.
4) To cite or create a link to a document using a DOI

The correct format for citing or creating a link to a document using its DOI is as follows:
http://dx.doi.org/10.1016/j.bbr.2011.03.031


Note : The DOI scheme is administered by the International DOI Foundation.
Many of the world's leading publishers have come together to build a DOI-based document linking scheme known as CrossRef.